Friday, 14 September 2012

SIAPAKAH DISEBALIK FILEM PENGHINAAN NABI MUHAMMAD ???

Seorang lelaki dari negeri California kini mengaku dia memainkan peranan di sebalik pembikinan filem yang menghina Islam serta Nabi Muhammad SAW sekali gus telah mencetuskan bantahan hebat umat Islam terutamanya di Mesir dan Libya kelmarin.



Lelaki berkenaan, Nakoula Basseley Nakoula yang mengamalkan ajaran Kristian Koptik serta pernah didapati bersalah kerana melakukan jenayah kewangan memberitahu agensi berita Associated Press (AP) bahawa dia memainkan peranan mengurus serta membekalkan logistik bagi produksi tersebut.

Lelaki berusia 55 tahun itu turut mengaku dia adalah pengurus syarikat yang menerbitkan filem berjudul Innocence of Muslims itu.

Namun, dalam satu temu bual dekat sini kelmarin, Nakoula telah menafikan dia mengarahkan filem biadap tersebut.

Sebaliknya, dia menyatakan mengenali penulis dan pengarah Innocence of Muslims, Sam Bacile. Bagaimanapun, nombor telefon yang dihubungi AP pada Selasa lalu bagi menelefon Bacile didapati menggunakan alamat sama dengan lokasi di mana Nakoula ditemui.

Rekod mahkamah persekutuan AS menunjukkan Nakoula mempunyai beberapa nama lain termasuk Nicola Bacily dan Erwin Salameh.

Lelaki tersebut menyatakan bahawa Bacile menyokong kebimbangan berhubung layanan buruk umat Islam terhadap penganut Kristian Koptik.

Namun, Nakoula menafikan dia menyamar diri sebagai Bacile.Semasa temu bual tersebut di luar rumahnya, lelaki tersebut menunjukkan lesen memandunya bagi mengesahkan identitinya tetapi dia menggunakan ibu jari bagi menutup nama tengahnya, Basseley.

Dalam pada itu, seorang paderi yang mencetuskan kemarahan umat Islam dengan membakar beberapa naskhah al-Quran, Terry Jones menyatakan, dia sempat berbual dengan Bacile melalui telefon kelmarin.

Jones berkata, lelaki tersebut telah menghubunginya beberapa minggu lalu bagi mempromosikan filem tersebut.

“Saya tidak menemui dia. Sam Bacile bukan nama sebenarnya.

“Saya cuma bercakap dengannya melalui telefon. Dia tentu bersembunyi dan tidak mendedahkan identitinya,” kata Jones.

Bacile sebelum ini menyatakan dia dilahirkan di Israel, berusia 56 tahun dan berketurunan Yahudi.

Seorang aktivis Kristian yang turut terlibat dalam projek filem tersebut, Steve Klein memberitahu kelmarin bahawa Bacile merupakan nama samaran pengarah filem berkenaan dengan dia seorang penganut Kristian.

Terdahulu, beberapa pegawai di Israel berkata, tiada rekod ditemui menyatakan Bacile seorang rakyatnya.

Menurut Klein, sekitar 15 pelakon dari Syria, Iraq, Turki, Pakistan, Iran serta beberapa penganut Kristian Qibti Mesir terlibat dalam filem Innocence of Muslims.

“Kebanyakan mereka enggan memberitahu nama sebenar kerana mereka takut,” kata Klein.

Sementara itu, YouTube telah menarik balik klip video filem tersebut di Mesir serta Libya kelmarin. Namun, video berkenaan masih boleh diakses di Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain.

Dalam perkembangan terbaharu, pihak berkuasa Libya membuat beberapa tangkapan berhubung serangan ke atas Kedutaan AS di Benghazi

“Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kehakiman telah memulakan siasatan dan kini sedang mengumpulkan bukti dengan beberapa orang telah ditangkap,” kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Wanis Al-Sharif.

Namun, beliau enggan memberikan butiran terperinci berkaitan bilangan orang yang ditangkap serta latar belakang mereka kerana tidak mahu menjejaskan siasatan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive