Saturday, 22 September 2012

SISWA JUANG DIPLOMASI BUKAN DEMO - ASPIRASI


Gabungan Aspirasi Mahasiswa Kebangsaan (Aspirasi) menggesa mahasiswa memperjuangkan hak mereka secara diplomasi serta berhemah dan bukan memilih kaedah demonstrasi jalanan.

Jurucakap gabungan itu, Hafiz Ariffin berkata mahasiswa adalah golongan intelektual yang mempunyai status tinggi dalam masyarakat dan segala perilaku kumpulan itu mencerminkan tahap intelektual mereka.

"Aspirasi mengajak pelajar ke kuliah untuk belajar...bukan ke jalan raya. Ini kerana Aspirasi percaya ibu bapa yang menghantar anak mereka ke menara gading mendoakan kejayaan anak-anak dan kejayaan itu tidak dicapai sekiranya mereka diheret ke jalan raya," katanya kepada pemberita di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata mahasiswa mempunyai banyak platform untuk melahirkan pandangan dan golongan itu tidak perlu membawa wadah perjuangan ke jalan raya dalam usaha mencapai cita-cita mereka.

"Oleh kerana kebimbangan inilah, Aspirasi mengajak mahasiswa memilih kepimpinan yang akan meletakkan mereka ke arah kecemerlangan akademik dan kami percaya pada sistem pilihan raya...bukannya demonstrasi jalanan," katanya.

Hafiz berkata atas sebab itu, pihaknya telah menyediakan satu manifesto yang mengandungi lima dasar yang rasional dalam memenuhi keperluan mahasiswa di kampus.

Katanya lima dasar itu bertumpu kepada kecemerlangan akademik, kebajikan mahasiswa, pembangunan sahsiah mahasiswa, pembangunan infrastruktur serta meningkatkan kebolehpasaran kerja mahasiswa.

"Dari segi infrastruktur, kami akan memperjuangkan kediaman yang kondusif dan penambahbaikan kemudahan perkhidmatan bas di kampus. Dari sudut akademik pula, kami akan berbincang dengan pihak berkaitan untuk memantapkan silibus akademik di semua universiti tempatan.

"Manakala dari segi kebajikan, kami akan memperjuangkan harga dan kualiti makanan. Kami juga akan memberi penekanan kepada kerajaan agar memberi perhatian terhadap peruntukan kewangan bagi membangunkan sahsiah mahasiswa dan memperjuangkan nasib graduan menganggur dengan berbincang dengan agensi berkaitan bagi memberi latihan kemahiran kepada graduan berkenaan," katanya.

Beliau berharap mahasiswa akan bersama-sama dengan pihaknya untuk berjuang dengan cara yang lebih realistik dalam memartabatkan hak dan keperluan golongan itu.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive