Monday 26 December 2011

Kenapa Bob Lokman disiasat Jaip????




KUANTAN – Bok Lokman, bekas pelakon, kini terkenal sebagai penceramah bebas dalam kalangan pembangkang, semalam diberi notis oleh Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) kerana disyaki menyampaikan ceramah tanpa tauliah.


Beliau disyaki menyampaikan ceramah di hadapan jemaah Masjid Taman Sri Mahkota Aman, Batu 11, Jalan Gambang dekat sini, selepas solat Maghrib. Ceramah itu bermula jam 8 malam dan tamat lebih sejam kemudian.

Sebaik sahaja selesai, Bob Lokman, atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, didekati seorang kakitangan Jaip dan mereka dilihat berbincang di beranda masjid.


Mereka mengambil maklumat daripada Bob Lokman, sementara jemaah menunaikan solat Isyak.


Bob Lokman dan beberapa rakannya meninggalkan masjid beberapa minit kemudian.



Sumber Jaip mengesahkan Bob Lokman diberi notis kerana disyaki menyampaikan kuliah Maghrib tanpa tauliah dan kebenaran Jaip.


Sumber itu juga memberitahu, Jaip akan menyiasat perkara itu di bawah Seksyen 161, Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 yang menetapkan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-dua sekali.


“Kita akan siasat perkara ini di bawah Seksyen 161, Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Bob Lokman pernah menerima waran tangkap Jabatan Agama Islam Selangor kerana tidak hadir beri keterangan berkaitan ceramah agama tanpa tauliah dua bulan lalu.

Thursday 15 December 2011

Gasak dakwa wujud salah urus tadbir dalam AKSB









Selepas Utusan Malaysia mendedahkan mengenai masalah air di Kelantan yang tercemar, hari ini Gerakan Selamatkan Kelantan (Gasak) tampil dengan dakwaan wujud salah urus tadbir dalam pengurusan Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) yang menyebabkan bekalan air gagal disalurkan dengan baik.


Presiden Gasak, Nor Azli Ahmad mendakwa, masalah itu disedari oleh kepimpinan Kerajaan Pas Kelantan selepas surat terbuka mengenai perkara itu diedarkan secara meluas pada pertengahan 2010.


Bagaimanapun, beliau berkata, sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil, malah beberapa projek yang dilaksanakan sebelum ini tidak memberi impak yang besar kepada rakyat.


"Perkara ini telah didedahkan dalam sebuah laman blog, kelatekito.net semalam.


"Sebagai contoh, kita minta kepada AKSB supaya menjelaskan keadaan projek air tidak terhasil (NRW) yang menelan belanja RM130 juta dan siap sepenuhnya pada Ogos lepas.


"Projek NRW tidak perlu menunggu lama untuk melihat impaknya dan Gasak difahamkan berdasarkan kontrak NRW dapat dikurangkan sehingga 35 peratus daripada 48 peratus sebaik sahaja projek itu selesai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.


Pertengahan bulan lepas, Utusan Malaysia menyiarkan laporan khas berkaitan kualiti air di Kelantan yang dicemari logam-logam berat berbahaya.


Kandungan logam-logam seperti arsenik, besi dan mangan serta bakteria ditemui menerusi ujian makmal Kementerian Kesihatan dari 2008 hingga 2010 dan juga uji kaji yang dijalankan sendiri pihak Utusan Malaysia di makmal bertauliah swasta baru-baru ini.


Bekalan air bersih merupakan masalah utama bagi rakyat negeri ini sejak 1990, sehingga penduduk terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membina telaga tiub, membeli alat penyedut air dan tangki tambahan.


Nor Azli berkata, pencemaran mempunyai hubung kait yang amat rapat dengan masalah pengurusan dalam anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan itu.


"Kita minta masalah diselesaikan secepat mungkin sekiranya tidak mahu perkara ini dibawa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


"Gasak tidak memberi amaran kosong dan kita akan mendedahkan beberapa dokumen penting mengenai masalah dalaman AKSB sekiranya keadaan mendesak," katanya

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive