Thursday, 15 December 2011

Gasak dakwa wujud salah urus tadbir dalam AKSB









Selepas Utusan Malaysia mendedahkan mengenai masalah air di Kelantan yang tercemar, hari ini Gerakan Selamatkan Kelantan (Gasak) tampil dengan dakwaan wujud salah urus tadbir dalam pengurusan Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) yang menyebabkan bekalan air gagal disalurkan dengan baik.


Presiden Gasak, Nor Azli Ahmad mendakwa, masalah itu disedari oleh kepimpinan Kerajaan Pas Kelantan selepas surat terbuka mengenai perkara itu diedarkan secara meluas pada pertengahan 2010.


Bagaimanapun, beliau berkata, sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil, malah beberapa projek yang dilaksanakan sebelum ini tidak memberi impak yang besar kepada rakyat.


"Perkara ini telah didedahkan dalam sebuah laman blog, kelatekito.net semalam.


"Sebagai contoh, kita minta kepada AKSB supaya menjelaskan keadaan projek air tidak terhasil (NRW) yang menelan belanja RM130 juta dan siap sepenuhnya pada Ogos lepas.


"Projek NRW tidak perlu menunggu lama untuk melihat impaknya dan Gasak difahamkan berdasarkan kontrak NRW dapat dikurangkan sehingga 35 peratus daripada 48 peratus sebaik sahaja projek itu selesai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.


Pertengahan bulan lepas, Utusan Malaysia menyiarkan laporan khas berkaitan kualiti air di Kelantan yang dicemari logam-logam berat berbahaya.


Kandungan logam-logam seperti arsenik, besi dan mangan serta bakteria ditemui menerusi ujian makmal Kementerian Kesihatan dari 2008 hingga 2010 dan juga uji kaji yang dijalankan sendiri pihak Utusan Malaysia di makmal bertauliah swasta baru-baru ini.


Bekalan air bersih merupakan masalah utama bagi rakyat negeri ini sejak 1990, sehingga penduduk terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membina telaga tiub, membeli alat penyedut air dan tangki tambahan.


Nor Azli berkata, pencemaran mempunyai hubung kait yang amat rapat dengan masalah pengurusan dalam anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan itu.


"Kita minta masalah diselesaikan secepat mungkin sekiranya tidak mahu perkara ini dibawa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


"Gasak tidak memberi amaran kosong dan kita akan mendedahkan beberapa dokumen penting mengenai masalah dalaman AKSB sekiranya keadaan mendesak," katanya

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

ENTRI POPULAR

Blog Archive