Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi
Datuk Ir Phahrolrazi Zawaw
ALOR SETAR - Pas kawasan Kuala Kedah mendesak Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Kedah supaya tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah serentakjika Parlimen dibubarkan, selagi kerajaan tidak menunaikan tuntutan Bersih 3.0 terutama membabitkan daftar pemilih.

Yang Dipertuanya, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, Pas kawasan Kuala Kedah menyatakan pendirian itu setelah mendapat undian majoriti yang bersetuju dengan usul itu kerana berlaku pertambahan yang mendadak dalam senarai daftar pemilih tambahan suku tahun pertama 2012yang dibentangkan Rabu lalu.

“Jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, kita mahu Kedah tidak bubarkan Dun serentak kerana kita mempunyai alasan yang kukuh menolak pilihan raya diadakan serentak dengan kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya, selepas Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kuala Kedah ke-38, yang dirasmikan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Menurutnya, pihaknya meragui kewujudan lebih 900 pengundi baru yang didaftarkan dalam kawasan Dun Kubang Rotan bawah Parlimen Kuala Kedah, kerana ianya melebihi peningkatan sebanyak 12 peratus.

Phahrolrazi yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata, pihaknya masih belum berpuas hati dengan daftar pemilih sedia ada kerana masih banyak timbul keraguan walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengakui telah membuat pembersihan daftar pemilih.

“Usul ini yang juga pendirian Pas kawasan akan dikemukakan kepada Pesuruhjaya Pas Kedah yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam masa terdekat. Kita serahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan Pas Kedah untuk membuat pertimbangan,” katanya, yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah.