Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mempersoalkan adakah kedaulatan undang-undang di Malaysia kini digantikan dengan rukun hutan.
“Saya gagal untuk memahami bagaimana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) boleh membenarkan sebuah gerai burger dibuka di luar kediaman persendirian dengan sewenang-wenangnya di Kuala Lumpur?
“Hal ini jelas menunjukkan Barisan Nasional (BN) dan DBKL gagal membendung gangguan tidak wajar, ugutan dan pencerobohan privasi seperti ini.
“Adakah pihak DBKL akan membenarkan bantahan yang sama di luar rumah persendirian menteri-menteri ataupun kediaman Datuk Bandar Kuala Lumpur sendiri?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas) bersama 20 orang termasuk dari Persatuan Peniaga dan Penjaja Lorong Tunku Abdul Rahman berkumpul dan membuka gerai burger selama satu jam bermula jam 2 petang di hadapan rumah Pengerusi Bersih itu.
Presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, pihaknya memberi tempoh dua minggu untuk Ambiga memberikan respons berhubung ganti rugi berjumlah lebih RM200,000 yang diterima menerusi 200 aduan daripada penjaja kecil di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman pada hari itu.
Dalam pada itu, Gua Eng menambah, sebarang gangguan, ugutan dan pencerobohan privasi tidak sepatutnya berlaku di Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, di mana rakyatnya hidup bersama dalam suasana harmoni dan saling menghormati.
Sebaliknya, kata Guan Eng, perbuatan membuka gerai burger dan memasak burger daging juga melampau kerana tidak menghormati Ambiga yang juga bekas Presiden Majlis Peguam seorang vegetarian.
Sehubungan itu, Guan Eng menyeru BN dan DBKL mengeluarkan gerai di luar rumah Ambiga serta-merta sebagai tanda hormat dan usaha ke arah demokrasi.
Sementara itu, Guan Eng turut menyentuh mengenai tindakan sekumpulan ahli Perkasa yang cuba 'membuat kacau' di pekarangan kediamannya selain mencemarkan kebersihan dengan membuang poster di beberapa jalan di pusat bandar Pulau Pinang, semalam.
"Semalam, keluarga saya sendiri diganggu dan mereka turut melakukan "upacara pengebumian" saya dengan meletakkan kalungan bunga pada bingkai gambar saya di pintu pagar untuk menandakan "kematian" saya.
"Perbuatan ini jelas menunjukkan satu ancaman terhadap seorang Ketua Menteri.
"Apa yang jelas, pihak polis yang hadir juga kelihatan bersikap acuh tak acuh dan tidak menghalang ahli Perkasa dari melanggar privasi saya," katanya.
Guan Eng berkata, ketika kejadian itu beliau sedang bermesyuarat bersama ahli Exco di Komtar dan terkejut apabila dimaklumkan mengenai tindakan ahli-ahli Perkasa.
Menurutnya, jika ingin meluahkan rasa tidak puas hati, mereka boleh berhimpun di Komtar dan menyerahkan memorandum kepada beliau, namun bukan dengan cara mengganggu ketenteraman di kawasan rumahnya.
"Kalau nak buat apa-apa demonstrasi mereka boleh buat di Komtar sebab mereka dah biasa buat di sini tapi jangan libatkan keluarga saya jika tidak berpuas hati dengan saya," katanya.
No comments:
Post a Comment