Beliau berkata, jika Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak membuat kesilapan, sudah pasti hasrat untuk melihat BN menang di Kelantan pada pilihan raya umum akan datang akan terlaksana walaupun mengakui ia bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai.
"Saya percaya sudah ada gelombang perubahan yang sudah berlaku di Kelantan ini. Kita bukan sahaja mengukur daripada segi kehadiran pada majlis Perdana Menteri dan saya...ramai yang datang.
"Itu salah satu petanda tetapi daripada laporan dari sumber memberitahu sudah berlaku perubahan sikap di kalangan pengundi di Kelantan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kota Baharu dan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat serta Sambutan Mesra Aidilfitri di sini, hari ini.
Muhyiddin berkata, rekod mengenai sikap pengundi di Kelantan ketika ini mendapati mereka sudah bosan dengan apa yang Pas lakukan yang menyebabkan rakyat negeri itu menanggung pelbagai masalah sejak 1990.
"Mereka sedar kerajaan negeri banyak membuat janji tetapi tidak dapat dilaksanakan seperti isu air, perumahan, infrastruktur, binaan masjid dan banyak lagi.
"Sebahagian besar apa yang kita lihat berlaku di Kelantan, kalau ada pun pembangunan itu adalah projek daripada sumbangan kerajaan Persekutuan," katanya.
Sehubungan itu beliau meminta rakyat agar tidak lagi terpedaya dengan janji-janji baharu pembangkang menjelang pilihan raya umum ini yang bertujuan semata-mata untuk membenci Kerajaan Pusat.
Beliau juga meminta tidak ada mana-mana pihak dalam Umno yang cuba bertindak untuk mensabotaj parti dan memberi amaran mereka yang melakukannya akan menerima akibat seperti dipecat.
Katanya, parti akan melantik pasukan pemantau bebas yang tiada siapa pun mengetahui individu yang dilantik itu untuk memantau tindakan sabotaj oleh anggota parti.
"Kita tahu mana kawasan ada kecenderungan ada sejarahnya begitu, dengan sebab cah keting, kawasan itu sepatutnya menang tetapi kalah kerana sabotaj, kita sudah ada rekod.
"Saya nak beritahu kepada semua ahli parti bukan sahaja Umno tetapi BN dan semua pemimpin BN pun sepakat tentang soal itu, kalau berlaku dia (semua parti komponen BN) akan ambil tindakan," katanya.
Beliau berkata perbuatan mensabotaj parti tidak boleh dibiarkan berlanjutan kerana pilihan raya umum kali ini adalah sangat penting.
Sementara itu Muhyiddin meminta mana-mana bahagian Umno yang masih belum membuat persiapan sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya umum ini agar bertindak segera kerana masih mempunyai masa. - Bernama
No comments:
Post a Comment