Friday, 14 September 2012

PERUMAHAN MAMPU MILIK DALAM BAJET 2013 OLEH PM !!!


PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka akan menyentuh isu perumahan mampu milik dalam Belanjawan 2013 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 28 September tidak lama lagi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, Perdana Menteri juga begitu prihatin berhubung isu berkenaan dan akan bertanya mengenai status ini dalam setiap mesyuarat jemaah menteri bersamanya.


“Saya tidak tahu apa yang akan dinyatakannya nanti, tapi beliau akan menyatakan sesuatu dalam belanjawan bagi menunjukkan keprihatinannya berhubung Perumahan Mampu Milik itu,”

katanya kepada pemberita pada majlis Hari Raya Aidilfitri anjuran kementerian di sini.

Berhubung perkara sama, Chor berkata kementeriannya sedang menyediakan kertas kerja tentang itu, menyenaraikan isu-isu dan langkah-langkah yang disyorkan yang akan dikemukakan pada mesyuarat Kabinet minggu depan sebagai satu panduan kepada kerajaan.

Menurutnya, idea itu dijana melalui tiga seminar dan perbincangan meja bulat dengan pihak berkepentingan termasuk Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), persatuan pembeli rumah, persatuan arkitek serta profesional yang lain.


“Sebagai contoh, sekarang, rakyat yang berpendapatan bulanan RM3,000 hingga RM7,000 adalah agak sukar untuk membeli rumah kerana tidak mampu dan hanya mampu membeli rumah yang berharga tidak melebihi RM400,000.

“Untuk membeli sebuah rumah dengan kos RM400,000 mungkin mereka terpaksa duduk jauh dari tempat kerja. Harap-harap kerajaan akan dapat segera membantu meringankan situasi ini,”

katanya.



Sambil menyatakan bahawa keadaan ini bukan sahaja dihadapi oleh Malaysia tetapi juga negara-negara lain seperti China dan United Kingdom, Chor berkata, inisiatif kerajaan berhubung Perumahan Mampu Milik itu bermula dengan Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang dilancarkan dua tahun lalu, yang menawarkan rumah-rumah berharga RM120,000 hingga RM300,000.


“Kementerian juga sedang membantu kerajaan persekutuan bagi menyediakan perumahan awam bagi rakyat yang berpendapatan maksimum RM2,500 sebulan.

Walaupun agak banyak yang perlu dilakukan tetapi setakat ini kita dapat melakukannya dengan agak baik kerana setiap negeri mempunyai perumahan awam seperti ini dengan yang terbanyak adalah Sabah,”

kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu lagi,

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive