Friday, 7 September 2012

'DEMA' SERU KOLEJ CYBERNETICS BATAL KEPUTUSAN BERHENTIKAN BUDAK PUNGGUNG !!!



Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar (Dema) menyeru Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics menarik balik keputusan memberhentikan pelajarnya yang terlibat dalam insiden pada malam ambang merdeka tempoh hari.

Menurut Dema tingkah laku pelajar terbabit merupakan tindakan individu untuk menunjukkan ketidakpuasan hatinya malah tindakan itu bukan kes jenayah atau apa-apa kesalahan akademik.

"Walaupun tindakan ini kurang sopan, ia hanya melibatkan tatatertib inidividu dan tidak begitu serius sehingga dibuang kolej. Pihak kolej boleh tidak setuju terhadap perlakuan pelajar, tetapi tidak boleh menghalang pengajiannya. Tindakan kolej telah menafikan hak pengetahuan pelajar," katanya dalam satu kenyataan.

Malah tegas Dema insiden tersebut berlaku di luar kolej dan bukan di kawasan kolej tetapi pelajar terbabit telah dianggap bersalah dan diambil tindakan oleh pihak kolej sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman terhadapnya.

Tambahnya, pengurusan kolej telah menghina mahkamah apabila mendahului mahkamah dalam membuat keputusan.

"Jadi, siapa yang melanggar undang-undang ? Kalau kes jenayah pun, biar mahkamah dan polis memutuskan kesalahannya dulu, kolej tiada kuasa menjalankan hukuman bagi kes jenayah.

"Kami juga meragui keputusan kolej tersebut di mana Pengerusinya Dr Alimuddin Mohd Dom iaitu bekas pegarah Kementerian Pendidikan . Kami berharap keputusan ini tidak dibuat oleh mereka untuk tujuan menghantui pemikiran pelajar," katanya.

Bagi Dema, selaku Pengurus Kolej mereka perlu memikirkan motif perbuatan tersebut serta memahami sebab-sebab pelajar tidak menghormati pemimpin dan bukan membuang kolej kerana cara ini tidak dapat menyelesaikan masalah.

Jika ingin melahirkan modal insan yang berilmu dan bertatasusila , pihak Kolej perlu menerima pandangan dengan sikap terbuka, kata Dema.

Pelajar terbabit adalah antara 11 individu yang dikenal pasti polis dalam insiden memijak gambar Perdana Menteri dan isteri serta Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya 
pada Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka, pada malam 30 Ogos lepas. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive