BERSIH 2.0
Himpunan Bersih
SHAH ALAM - Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menegaskan perikatan tiga parti itu tidak pernah takut untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), sebaliknya mendakwa Barisan Nasional (BN) yang bimbang dengan kebangkitan pihaknya dan sokongan yang diterima buat masa sekarang.

Mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, kenyataan bekas Perdana Menteri itu hanyalah satu manifestasi terhadap kebimbangan Umno dan BN menjelang PRU13.

"Mahathir telah menyatakan kami tak yakin menang dalam PRU13 akan datang adalah satu tanggapan yang salah dan itu hanya ingin menutup kerisauan pada ahli Umno dan BN sendiri," kata Salahuddin lagi ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Kelmarin, Dr Mahathir dipetik berkata, pembangkang jelas tidak mempunyai keyakinan untuk menang dalam PRU13 menyebabkan mereka melemparkan pelbagai tuduhan untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan sedia ada zalim dan perlu digulingkan.

"Sebab itu mereka mahu bersedia, kalau kalah kali ini (PRU13), mereka akan cetuskan huru-hara, buat demonstrasi dan desakan yang kononnya kerajaan menipu untuk menang.

"Ini memang pendekatan pembangkang yang bertujuan menjatuhkan kerajaan melalui demontrasi, bahkan Nik Aziz (Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat) sendiri turut mengatakan bahawa demontrasi ini halal," katanya.

Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubanhg Kerian berkata, masyarakat sudah lebih celik politik dan dapat menilai pemerintah yang layak dalam mengemudi negara ke arah yang lebih baik seperti yang dituntut Bersih 3.0.

Perhimpunan Bersih 3.0 yang dianjurkan oleh NGO, didakwa dihadiri lebih seratus ribu orang dari seluruh pelusuk negara telah mengundang pelbagai reaksi ekoran insiden ganas. - Bernama