Wednesday, 7 November 2012

SULTAN KESAL, JAIS DIARAH SIASAT NURUL IZZAH - MAIS


SHAH ALAM - Sultan Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) terkejut dengan kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berhubung kenyataannya berkaitan isu kebebasan beragama, sebagaimana dipetik oleh beberapa media sejak hujung minggu lalu.

"Mais berasa begitu terkejut dan kesal dengan kenyataan dikeluarkan oleh YB Nurul Izzah dalam forum Negara Islam: Versi Mana, Siapa Bertanggungjawab?" kata Pengerusinya, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Mais telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor membuat siasatan untuk tindakan sewajarnya.

Kata beliau, Mais ingin menyatakan bahawa Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam Negeri Selangor dan pelindung hak dan kepentingan kaum Melayu juga berasa terkejut dan kesal dengan kenyataan tersebut.

"Dan, banginda menolak sama asekali sebarang pandangan daripada mana-mana pihak bahawa orang Melayu yang beragama Islam mempunyai kebebasan untuk memilih agama lain dan keluar dari Islam," kata beliau.

Mohamad Adzib berkata, Islam adalah satu syarat yang menentukan status sebagai seorang Melayu seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh itu, pemikiran liberalisme atau pluralisme ini amat bahaya kerana akan menghakis hak kedudukan dan keistimewaan orang Melayu yang sedia termaktub dalam Perlembagaan dan undang-undang yang sedia ada.

"Sultan Selangor juga menitahkan soal-soal berkaitan Islam jangan dipolemikkan dan dijadikan modal politik untuk kepentingan pihak-pihak tertentu kerana boleh mengelirukan dan memesongkan fahaman umat Islam berkaitan agama Islam," kata beliau.

Mais, kata beliau, bertegas bahawa apa-apa pun agenda mahupun tindakan berorientasikan politik tidak boleh sekali-kali menggadai kedudukan, kefahaman dan pelaksanaan Islam di Selangor khususnya dan di Malaysia amnya.

"Wala apa pun, Mais telah mengarahkan Jais membuat siasatan untuk tindakan sewajarnya," kata beliau lagi. - Sumber : Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive