Friday 4 May 2012

BERI PELUANG PADA BN PASTI PERUBAHAN BESAR PADA KELANTAN - PM


GUA MUSANG - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengajak rakyat Kelantan bangkit dalam satu barisan untuk melakukan perubahan besar terhadap kehidupan dan pembangunan di negeri itu.

'Insya-Allah, beri peluang kepada Barisan Nasional, kita akan buat perubahan besar, masalah bekalan air bersih boleh selesai dan banyak lagi masalah boleh kita selesaikan termasuk permintaan mewujudkan lebuh raya," katanya ketika
berucap merasmikan Karnival Komuniti 1Malaysia Negeri Kelantan di Padang Pusat Sivik, di sini hari ini.

Najib berkata, semangat hendakkan perubahan yang besar itu harus bermula dari sekarang, termasuk mereka yang memakai baju warna merah yang sinonim dengan semangat 'gelombang merah' yang dicetuskan Umno Kelantan untuk merampas negeri tersebut daripada pentadbiran Pas.

Sehubungan itu, Najib menyeru rakyat Kelantan berjuang habis-habisan supaya perubahan besar dapat dilakukan untuk mereka dan negeri tersebut.

Di jajahan Gua Musang, Najib berkata kerajaan sudah meluluskan pembinaan projek perumahan rakyat sebanyak 1,000 unit, selain 350 unit rumah di bawah projek agropolitan dan peruntukan RM3 juta untuk masyarakat Orang Asli menanam pokok gaharu.

Sementara itu, Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah semasa berucap pada majlis tersebut meminta kerajaan membina sebuah lebuh raya bagi memudahkan orang ramai berulang-alik dari Kota Baharu-Kuala Krai-Gua Musang-Bentong-Karak-Kuala Lumpur.

Beliau berkata pembinaan lebuh raya itu penting bagi mengatasi masalah kesesakan teruk pada musim perayaan dan cuti persekolahan memandangkan kira-kira 400,000 rakyat bekerja di luar Kelantan.

Beliau berkata, dengan adanya lebuh raya itu, banyak lagi kemudahan lain boleh diwujudkan termasuk pusat pengajian tinggi memandangkan kawasan hulu Kelantan ini masih mempunyai banyak tanah kosong.

Pada majlis tersebut, Tengku Razaleigh mengimbas kembali sumbangan pemimpin terdahulu termasuk bapa Najib, Allahyarham Tun Abdul Razak dalam memajukan kawasan hulu Kelantan dengan menubuhkan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan
(Kesedar) melalui pembukaan tanah rancangan. -Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive