Ku Li: Jangan uji kesetiaan saya
KOTA BHARU - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang sebelum ini dilihat mencetuskan kontroversi susulan kenyataan-kenyataan tidak selari dengan kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN), mengingatkan agar mana-mana pihak tidak menguji kesetiaannya kepada parti.

“Macam-macam pendapat orang berikan terhadap saya, namun saya yakin dengan (kesetiaan), itu menyebabkan setakat hari ini saya tidak pernah kalah (pilihan raya).

"Saya yakin kepada rakyat dan parti, tak perlu bercakap soal ini, saya lebih lama dalam Umno, dalam soal setia tak setia, itu kena tanya di akhirat nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi ahli panel Bicara Perjuangan dan Pelancaran Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) di Kelantan Trade Centre malam semalam.

Terdahulu dalam wacana tersebut, Ku Li yang juga Ketua Umno Gua Musang meminta rakyat menghormati pendirian untuk bersama BN walaupun mendapat desakan penonton yang memintanya menyertai Pakatan Rakyat.

Ku Li sebelum ini menyokong tuntutan royalti minyak Kerajaan Kelantan yang disifatkannya hak negeri berdasarkan perjanjian yang dibuatnya ketika menjadi Pengerusi Petronas.

Mengulas isu tersebut, Ku Li  berkata, beliau tiada hak untuk menghalang Pas menggunakan isu royalti minyak untuk kepentingan parti, sebaliknya apa yang diperjuangkannya adalah hak Kerajaan Negeri yang berlandaskan undang-undang.
“Kalau Pas ambil kesempatan dengan isu minyak itu, dia punya hal, saya hanya terangkan apakah saya buat semasa Petronas (ditubuhkan) 1974 , saya yang turun berunding dengan Kerajaan Negeri, saya kata kalau serah hak minyak kepada Petronas, saya akan bagi lima peratus (royalti).
“Soalnya mengapa tak bagi kerana dah ada perjanjian, itu hak Kerajaan Negeri dan dibuat kontrak yang mudah, setiap perjanjian kena tunai, apa guna buat perjanjian kalau tidak ditunaikan,” katanya.sH