ALOR GAJAH - Pulau Konet yang terletak di Telok Gong, Kuala Sungai Baru, dekat sini yang dahulunya terkenal sebagai kawasan rekreasi dan aktiviti pelancongan kini menjadi sarang remaja melakukan maksiat.
Penduduk, Hasni Yang Ghazali, 50-an berkata, keluasan pulau kecil memudahkan pasangan muda-mudi ini duduk di celahan pokok yang merimbun selain berselindung di sebalik tebing bukit di pinggir pantai.
Menurutnya, kebanyakan mereka ini tidak menghiraukan kehadiran orang ramai yang datang beriadah dan memancing di pulau berkenaan.
“Baru-baru ini terdapat pasangan yang terkandas beberapa jam di atas pulau ini sebelum mereka diselamatkan sepasukan anggota penyelamat selepas air laut pasang naik mendadak semasa mereka leka bermadu asmara,” katanya yang juga ahli Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).
Sementara itu, Pengerusi Pegawai Syarak merangkap Imam (1) Tanjung Bidara, Datuk Abu Khir Jamaluddin, berkata, Pulau Konet adalah destinasi pelancongan dan tumpuan pemancing maka tidak seharusnya ia dicemari dengan aktiviti maksiat.
“Saya sedih setelah diberitahu ada segelintir pasangan remaja menjadikan kawasan pulau berkenaan sebagai tempat mereka memuaskan nafsu,” katanya.
No comments:
Post a Comment