adam adli
SHAH ALAM – “Salahkah saya ke sana untuk melihat sendiri apa yang berlaku,” demikian kata aktivis mahasiswa Adam Adli Abd Halim mengulas mengenai pihak yang mempersoalkan kehadirannya semasa operasi pecah unit kosong Rumah Pangsa Empat Tingkat Kampung Kerinchi, kelmarin.

Menurutnya, dia bersama 12 lagi rakannya dari Solidariti Mahasiswa Malaysia hadir ke kawasan itu untuk melihat dengan lebih dekat apakah yang sebenarnya berlaku di kawasan tersebut.

“Semasa di sana, saya dan rakan tidak protes. Kami hanya duduk di bawah pokok melihat pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan kerja pecah rumah.

“Saya datang dengan niat hendak tahu isu dan lihat sendiri apa yang berlaku. Saya juga penduduk di kawasan Lembah Pantai,” katanya.

Menceritakan kembali sebelum ditumbuk kelmarin, Adam dan beberapa aktivis mahasiswa naik ke tingkat tiga flat tersebut apabila mendengar ada keluarga yang menangis.

“Saya hanya naik dan tenangkan mereka. Lagipun saya diberitahu pihak DBKL hanya pecahkan pintu rumah yang tidak ada orang. Jadi selepas itu kami turun.

“Sebelum itu lagi, ada beberapa orang yang jerit-jerit tetapi saya tak endahkan. Masa saya turun tangga dan nak pusing ke kanan sikit, terus ada orang menumbuk saya. Yang saya pasti ada dua serangan dibuat dekat saya,” katanya.

Adam kecewa kehadirannya ke kawasan tersebut dengan niat baik dipersoal, dikritik dan dipolitikkan.

“Semua perkara hendak dipolitikkan. Pihak yang lain hanya tahu mengkritik kehadiran saya, tetapi di mana mereka semasa penduduk ini memerlukan bantuan?,” katanya.

Kelmarin, rundingan aman membabitkan 35 penduduk Rumah Pangsa Empat Tingkat Kampung Kerinchi dengan DBKL bagi mengosongkan kediaman mereka untuk program pembangunan semula bangunan itu dicemari insiden Adam Adli ditumbuk.

Adam Adli juga membuat laopran di Balai Polis Pantai pada hari kejadian.