Muhyiddin Yassin
BANGI - Cadangan pembangkang mahu menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sekiranya memenangi pilihan raya umum akan datang mempamerkan sikap tidak bertanggungjawab pembangkang, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, cadangan itu sekiranya dilaksanakan akan hanya menimbulkan masalah besar kepada orang ramai untuk membiayai pendidikan anak-anak mereka.

"Bercakap memang mudah sebab dia (Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim)  bukan kerajaan dan tidak mempunyai rasa tanggungjawab.

"Mereka yang berhutang dengan PTPTN mungkin suka, tapi ini akan menyebabkan masalah besar... jangan fikir keuntungan jangka pendek sahaja," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau menegaskan sedangkan janji yang diberikan pembangkang semasa pilihan raya lepas pun masih banyak belum ditunaikan.

Mengenai kenyataan Anwar dalam satu laporan portal bahawa beliau yakin Barisan Nasional (BN) tidak akan berjaya merampas semula Selangor pada pilihan raya umum akan datang, Muhyiddin berkata, apa yang penting ialah apa pendapat rakyat mengenai pentadbiran pakatan pembangkang di negeri itu.

Beliau berkata, BN tahu yang dimahukan oleh rakyat Selangor dan menurutnya mereka adalah pemilih yang dipentingkan oleh BN. – Bernama