KUALA KLAWANG - Terkenang dosa dilakukan sebelumnya, pemuzik, Sham Kamikaze pernah tidak memegang gitar selama empat bulan ketika awal penghijrahannya mendekatkan diri kepada agama.
Sham atau nama sebenarnya, Shamril Mohd Salleh, 36, berkata, perubahan kira-kira setahun lalu bermula dengan ajakan seorang sahabat karib yang sama-sama bergelumang dalam industri muzik selama 13 tahun.
“Dia sama-sama meminati muzik rock dan metal serta berkongsi minat dalam bermain gitar.
“Satu perubahan berlaku apabila sahabat saya ini mengajak menunaikan solat fardu dengan menjelajah dari masjid ke masjid,” katanya.
Menurutnya, dia mengikuti rakannya itu sehinggalah bertemu dengan imam dari Makkah di salah sebuah masjid yang mereka singgah.
“Bermula dari peristiwa itu saya mula mendalami ilmu agama. Selama empat bulan saya tidak pegang gitar kerana saya memikirkan banyaknya dosa saya lakukan sebelum ini,” katanya pada Forum Bicara Cinta Anak Muda (FBCAM) di Dewan Majlis Daerah Jelebu (MDJ), di sini, malam kelmarin.
Forum anjuran Majalah-i terbitan Kumpulan Media Karangkraf (KMK) dan Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) itu dipengerusikan Editor Majalah-i, Ahmad Yani Abdul Manaf.
Selain Sham, tiga panel lain yang turut serta adalah bekas penyanyi popular sekitar 90-an, Farra; penulis buku Karya Bestari, Profesor Madya Mohd Nor Mamat dan penerima Anugerah Saudara Muslim Cemerlang Kebangsaan 2011, Muhammad Adnan Abdullah.
Sementara itu, Ahmad Yani berkata, forum berkenaan merupakan siri ketiga dianjurkan pihaknya.
“Sebelum ini kita memilih tajuk ‘Hatiku Hanya Milikmu’. Namun kali ini kita sesuaikan program khas untuk golongan muda pula,” katanya. - sH
No comments:
Post a Comment