Wednesday, 4 April 2012

Dah Ajal!!! Lemas Air Terjun Sekayu

KUALA BERANG – Hasrat empat sahabat yang memandu dari Dungun ke Kuala Berang untuk berkelah dan mandi-manda di Tempat Perkelahan Air Terjun Sekayu bertukar tragedi apabila salah seorang rakan, Johafizi Johari, 25, mati lemas dalam kejadian itu semalam.

Kejadian berlaku apabila mereka berempat mandi di kawasan air terjun yang terdapat sebuah lubuk dengan kedalaman kira-kira 0.65 meter.

Menurut rakan mangsa, Ahmad Shahir Hashim, 25 berkata, dia menerima panggilan daripada salah seorang rakan, Ahmad Faiz Daniel, 25, yang ada bersama arwah kira-kira jam 9.30 pagi semalam untuk bertanyakan jalan menuju ke kawasan air terjun itu.

“Tiga jam kemudian, sekali lagi saya menerima panggilan daripada Daniel memberitahu Johafizi lemas dan masih tidak dijumpai.

“Dia memberitahu arwah berada di dalam air lebih kurang 10 minit tetapi masih tidak nampak kelibatnya, lagipun mereka bertiga tidak pandai berenang dan terpaksa meminta pertolongan orang ramai yang berada di kawasan itu,” katanya yang ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu semalam.

Menurut Shahir yang terpaksa bergegas dari Dungun ke Kuala Berang untuk mengetahui nasib rakannya yang bekerja sebagai pembantu kedai elektrik itu, dia hampa kerana hanya dapat menatap sekujur tubuh yang diselimuti kain putih kerana ketika ditemui, arwah sudah meninggal dunia.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah adalah hujung bulan lalu di warung sambil minum. Ketika itu dia banyak mendiamkan diri dan perubahannya nampak begitu ketara sebab diamnya lain macam.

“Tidak sangka pula itu petanda dia akan meninggalkan kami dengan cara macam ini dan sebagai kawan, memang terasa kehilangannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim berkata, kejadian berlaku kira-kira 11.45 pagi ketika mereka berempat turun mandi di kawasan air terjun dan mangsa yang tidak tahu berenang terus tenggelam ke dasar lubuk.

“Sejurus melihat mangsa tidak timbul, rakan-rakannya cuba menariknya keluar namun didapati dia sudah meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.

“Kes dikategorikan sebagai mati mengejut akibat lemas,” katanya. sH

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive