Tuesday 18 March 2014

77 Rawatan & Kaunseling Kepada Anggota Keluarga Penumpang MH370 #Pray4MH370



Gambar mangsa ahli keluarga pesawat MAS MH370 hilang oleh themalaymailonline – Laporan Bernama News Mh370

Sebanyak 77 kes direkodkan sebagai rawatan pesakit luar dan kaunseling kepada anggota keluarga penumpang pesawat MH370 yang menginap di Hotel Everly di sini, sepanjang 10 hari lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata daripada jumlah itu, empat kes dirujuk ke Jabatan Kecemasan, Hospital Putrajaya.

“Dua kecemasan iaitu satu kes asma dan satu lagi sakit dada (namun akhirnya disahkan mengalami masalah serangan panik) dan dua kes biasa,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Krisis serta anggota keluarga di hotel berkenaan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 17 kes diberi intervensi psikososial yang bertujuan membantu menangani masalah emosi yang dihadapi anggota keluarga penumpang pesawat berkenaan.

Katanya, daripada 17 kes itu, satu kes yang memerlukan rawatan lanjut dalam aspek psikososial iaitu ‘stress induced hyperventilation’ yang menunjukkan tanda keresahan amat teruk dan telah dirujuk ke Hospital Putrajaya.

“Pesakit kini berada dalam keadaan yang stabil dan dipantau Pasukan Kesihatan Mental dan Respons Psikososial di hotel ini,” katanya menambah petugas dan skop perkhidmatan di pusat tersebut akan ditingkatkan jika kedaan memerlukan.

Sehingga kini, empat sesi terapi kelompok telah dilaksanakan oleh petugas terlibat kepada 51 anggota keluarga penumpang dan anak kapal.

Terapi ini telah membantu melegakan perasaan mereka, ketenangan emosi serta membolehkan mereka lebih yakin untuk memberi sokongan kepada anggota keluarga yang lain, katanya.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga menyediakan sesi taklimat secara berjadual kepada petugas setiap hari seperti kemahiran asas memberikan bantuan, memaklumkan berita buruk, kematian/kehilangan, penilaian keberkenanan tekanan serta teknik relaksasi.

Sementara itu, di Hotel Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya, Subramaniam turut meluangkan kira-kira 15 minit meninjau kemudahan yang disediakan kepada keluarga penumpang MH370 dari China yang ditempatkan di situ, namun tidak mengadakan pertemuan dengan mereka bagi mengelak gangguan emosi.

Katanya, menurut laporan pasukan perubatan, secara keseluruhannya keadaan emosi anggota keluarga pada masa ini adalah terkawal, walaupun pada mulanya reaksi mereka agak mengejutkan.

“Pada masa ini saya pasti tekanan mereka sudah berkurangan. Walaupun demikian kita perlu sentiasa memberi sokongan dan bimbingan kepada mereka… lebih-lebih lagi ketika mereka menunggu dengan penuh harapan akan hasil operasi menyelamat,” katanya.

Subramaniam berkata, keluarga penumpang dari China itu akan terus diberi bimbingan dan kaunseling melalui pasukan yang dibentuk oleh kementerian dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang memahami budaya mereka dan boleh berkomunikasi dalam Mandarin.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk NGO dan swasta seperti Kumpulan Tzu Chi dan Hospital Gleneagles yang turut berpusat di Cyberview Resort & Spa untuk membantu keluarga penumpang.

Kira-kira 30 anggota keluarga penumpang MH370 dari China ditempatkan di hotel berkenaan. – Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive