Wednesday 19 March 2014

Beberapa Teori Misteri Kehilangan MH370 Masuk Akal??? #PrayForMH370

SELAGI misteri penerbangan MH370 tidak dirungkaikan, sama ada dengan penemuan pesawat Boeing 777-200ER itu atau serpihannya, selagi itulah teori mengenai kehilangannya akan dikemukakan.
Tetapi sebelum kita berbincang mengenainya, marilah kita mengucapkan terima kasih kepada setiap orang petugas, di darat, laut dan udara, dari negara kita dan lebih 15 negara lain di dunia yang terlibat dalam operasi raksasa mencari dan menyelamat (SAR) sejak 8 Mac lalu.

Sumbangan kemanusiaan mereka amat dihargai dan tentunya menjadi penawar kepada keluarga penumpang dan anak kapal penerbangan itu. Berbilion dolar aset ketenteraan dan awam sedang digunakan dengan memakan belanja yang besar.

Kita tolak cerita karut-marut bomoh dan orang bunian. Kalau radar, sonar dan satelit yang canggih pun belum berjaya mengesan secara tepat lokasi pesawat itu, masakan lukah, ruas buluh dan buah kelapa boleh mengesannya. Tapi, ada juga orang yang percaya dan amalkan hal-hal khurafat dan tahayul.

Antara teori dan ramalan yang telah kita baca dan dengar, sama ada berwibawa atau semata-mata khayalan termasuklah:

1. Rampasan udara oleh salah seorang atau beberapa orang penumpang. Teori ini dianggap berwibawa kerana terbukti ada dua orang penumpang warganegara Iran yang bolos pemeriksaan masuk MAS, polis dan imigresen dan menaiki pesawat menggunakan pasport curi.

2. Perbuatan sabotaj libatkan Kapten pesawat, Zaharie Ahmad Shah atau pembantu juruterbang, Fariq Ab Hamid. Teori menjadi berwibawa apabila pihak berkuasa mengesahkan yang mereka sedang disiasat. Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, berkata sistem komunikasi pesawat itu dimatikan secara sengaja. Teori ini menjadi lebih sensasi apabila akhbar The Daily Mail, London mengaitkan Zaharie dengan politik pembangkang. Beliau didakwa menghadiri sidang Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 7 Mac apabila Ketua Pembangkang dijatuhi hukuman penjara lima tahun atas kesalahan liwat. (Baca di sini).

3. Pihak-pihak di Amerika Syarikat meramalkan yang pesawat itu dirampas dan didaratkan di lokasi rahsia bagi digunakan untuk tujuan jahat pada suatu masa nanti.

4. Dirampas kerana antara penumpang pesawat itu adalah kakitangan syarikat pembuat komponen komputer Amerika Syarikat, Freescale Semiconductor, Inc. Kepakaran mereka sangat berguna bagi negara-negara yang sedang membina peralatan canggih tentera dan awam tetapi menghadapi sekatan perdagangan.

5. Dirampas oleh pertubuhan pengganas antarabangsa yang mengambil kesempatan daripada kelonggaran kawalan dan kurang profesionalisme di KLIA.

6. Akhir sekali teori tekanan jiwa dan sabotaj oleh kakitangan MAS akibat prestasi kewangan syarikat itu yang semakin buruk dan masalah antara pengurusan dan kesatuan sekerja. (Baca di sini).

Wallahuaklam.

A. KADIR JASIN
http://kadirjasin.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive