Wednesday 19 March 2014

Misi Pencarian MH370 Di Perluaskan 2.2Juta Batu Nautika Persegi - Hishammuddin #PrayForMH370

Operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 mencapai satu dimensi antarabangsa yang baharu meliputi kawasan seluas 2.24 juta batu nautika persegi yang dipanggil sebagai Koridor Selatan dan Utara.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kawasan itu amat luas dan ia merupakan sesuatu yang tidak mungkin dapat dilakukan Malaysia secara bersendirian.

"Oleh itu, saya amat gembira begitu banyak negara yang tampil menawarkan bantuan dan sokongan dalam operasi mencari dan menyelamat.

Katanya, kawasan mencari bagi koridor utara dan selatan itu dibahagikan kepada tujuh kuadran dengan setiap kawasan kuadran dianggarkan 160,000 batu nautika persegi.

"Pencarian itu masih diselaraskan oleh Malaysia manakala rakan-rakannya mengambil peranan yang semakin penting untuk menyusun dan menjalankan operasi di wilayah mereka sendiri dan dalam sektor pencarian yang dipersetujui," katanya dalam sidang media mengenai kemajuan operasi mencari dan menyelamat Penerbangan MH370 di sini, Selasa.

Penerbangan MH370 ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi 8 Mac. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Operasi mencari pesawat itu yang disertai pelbagai negara setakat ini, masih belum berhasil.

Hishammuddin berkata dari segi logistik, sejak 24 jam lalu Malaysia berusaha keras dengan negara-negara lain dengan menumpukan kawasan pencarian di koridor berkenaan.

Katanya, operasi mencari itu memfokuskan kepada empat tugas; mengumpul maklumat daripada pemantauan satelit, menganalisis pemantauan data radar, meningkatkan aset di udara dan daratan dan meningkatkan jumlah pakar teknikal dan perkara berkaitan.

Di koridor selatan, beliau berkata Australia dan Indonesia bersetuju mengetuai pencarian koridor di kawasan masing-masing dan begitu juga di koridor utara, China dan Kazakhstan bersetuju mengetuai pencarian di kawasan terdekat dengan negara mereka.

"Bagi aset udara dan daratan, saya telah bercakap dengan hampir kesemua para pemimpin Asean untuk memohon sokongan seterusnya termasuk aset dengan keupayaan mengesan bagi pemantauan laut dalam.

"Kita juga meminta rakan-rakan di peringkat antarabangsa yang telah membantu kita sebelum ini supaya meneliti semula data radar utama mereka," kata Hishammuddin.

Beliau berkata Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggerakkan dua buah kapal lagi ke koridor selatan. Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga menggerahkan dua pesawat C-130 ke sektor Indonesia bagi pencarian di koridor selatan.

Negara-negara lain yang menyumbang aset-aset ialah Amerika Syarikat yang menggerakkan sebuah pesawat P-8 Poseidon, dan akan menggerahkan semula sebuah pesawat P-3 Orion selain Australia yang mengerahkan tiga pesawat P-3 Orion dan sebuah pesawat Hercules C-130.

"New Zealand juga mengerahkan semula sebuah pesawat P-3 Orion untuk menyokong usaha pencarian yang dibuat Australia. Korea pula menjanjikan masing-masing sebuah pesawat P-3 Orion dan Hercules C-130," katanya.

Jepun pula menjanjikan dua pesawat P-3 Orion, dua C-130 dan sebuah jet Gulfstream dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pula masing-masing sebuah pesawat C-17 dan Bombardier Dash-8, katanya. - Sumber

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive