Friday, 15 June 2012

SEKADAR RENUNGAN DI PAGI JUMAAT - JANGAN REMEHKAN DOSA-DOSA KECIL

Ramai manusia tertipu oleh kata hatinya sendiri setelah diputar belit oleh pengaruh syaitan. Syaitan berbisik ke dalam hati manusia: ”Allah Taala Maha Penyayang, rahmat-Nya meliputi segala sesuatu. Setelah kamu melakukan dosa-dosa kecil, mengapa Allah tidak juga menurunkan apa-apa bala ataupun azab disebabkan maksiat kamu itu? Bukankah dosa yang kamu lakukan itu ringan-ringan saja? Lepas buat bertaubatlah! Habis cerita. Jangan takut, amal baik kamu banyak lagi.”

Tidaklah semudah itu menanggalkan daki-daki maksiat dalam jiwa raga kita. Kalau dikiaskan maksiat seperti kotoran yang melekat pada kain, boleh dihilangkan dengan sekali cucian saja, alangkah mudahnya. Asalkan dicuci dengan taubat maka hilang serta merta. Sedangkan kain yang selalu diberus untuk menghilang noda takkan bertahan lama. Pasti koyak rabak pada akhirnya. Inikan pula hati manusia. Jangan diremehkan dosa-dosa kecil. Semakin kerap ia dilakukan walaupun dengan diiringi taubat, ia akan merosakkan hati dan seterusnya memberi kesan kepada amal perbuatan keseluruhannya.

Apakah kesan daripada melakukan dosa kecil?

1. Merangsang untuk melakukan dosa besar.

Amat jarang sekali ditemui seseorang yang tiba-tiba membunuh tanpa ada mukadimah pergaduhan atau pertelingkahan. Begitu juga orang yang berzina, pasti ada mukadimah rangsangan-rangsangan yang dilihat oleh matanya, penciuman atau sentuhan-sentuhan dalam pergaulannya.

Ibarat titisan air yang terus-menerus boleh melubangi bongkah batu yang keras. Maksiat yang dilakukan terus menerus akan memberi kesan kepada maksiat yang lebih besar lagi. Mata yang memandang gambar keji yang menjijikkan akan menyuruh kepada anggota badan yang lain untuk berzina. Sehingga Ibnu Abbas berpendapat; ”Tidak ada dosa-dosa kecil jika terus menerus dilakukan.” Kerana ia akan merangsang seseorang melakukan dosa besar.

Kadang-kadang perbuatan baik yang dilakukan hamba walaupun kecil dan ringan, namun bagi Allah Taala ia sungguh bermakna. Demikian juga sebaliknya dosa yang bagi manusia sedikit tetapi cukup membuat Allah Taala murka hingga hari kiamat. Sebagaimana Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: ”Adakalanya seseorang melepaskan sepatah kata daripada kata-kata yang diredai Allah yang dia tidak menyangka hal itu sedemikian rupa, tiba-tiba dicatat oleh Allah dalam keredaan-Nya sehingga dia berhadapan dengan Allah Taala dalam keadaan diredai. Demikian pula adakalanya seseorang bercakap sepatah kata daripada kata-kata yang membuat kemurkaan Allah yang dia tidak menyangka akan sedemikian rupa tiba-tiba dicatat oleh Allah Taala dalam kemurkaan-Nya hingga hari kiamat.” (Hadis riwayat Imam Malik dan al-Tirmizi)

2. Merasa aman daripada azab Allah Taala.

Orang yang sentiasa melakukan dosa-dosa kecil beranggapan bahawa dia boleh berpegang kepada tali rahmat dan kasih sayang Allah sehingga tidak akan mungkin terjatuh ke dalam jurang kebinasaan. Tetapi sayang dia sesungguhnya lupa terhadap sifat Allah yang Maha Adil saat membalas setiap kejahatan. Bukankah telah datang khabar daripada wahyu yang menyatakan perbuatan yang besar atau kecil semuanya tertulis dalam kitab catatan amal manusia? Setiap pandangan yang menyimpan syahwat, kebencian atau kedengkian segalanya dirakam dengan begitu rapi. Perkataan yang mewakili fitnah, ghibah dan kekotoran zina juga tidak luput dari pemerhatian dua malaikat pencatat amal.

Firman Allah Taala yang bermaksud: ”Dan diletakkanlah Kitab catatan, lalu kamu akan melihat orang-orang bersalah ketakutan terhadap apa yang tertulis di dalamnya, dan mereka berkata: “Aduhai celaka kami, Kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak pula yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada tertulis. Dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang juapun”. (Surah al-Kahfi ayat: 49)

Tetapi mengapa manusia masih merasa aman daripada azab dan hukuman Allah Taala? Mungkin kerana azab Allah itu tidak terus diturunkan serta merta selepas mereka melakukan maksiat. Cuba anda bayangkan selepas melayari laman web lucah seseorang terus dijangkiti penyakit mata merah yang rasanya gatal dan pedih bukan kepalang. Pasti tidak ada seorang manusia pun berani melihat benda-benda keji seperti itu. Ataupun selepas mengumpat, mengeji dan memfitnah orang lain tiba-tiba orang itu terkena kanser di mulutnya. Setelah puas makan harta anak yatim perutnya membuncit. Perkara ini tak pernah berlaku disebabkan kelembutan Allah Taala kepada makhluknya.

Namun demikian masih saja mereka yang bermaksiat itu berdalih: ”Mengapa Allah tidak membalas kejahatanku ini? Aku masih hidup dengan limpahan nikmat-Nya, tidak ada musibah dan siksa yang menimpa diriku. Lantas dia menyangka baik apa-apa perbuatan jahat yang dilakukannya. Padahal Allah Taala hanya menangguhkan balasan atas kejahatannya itu untuk menguji sekebal mana imannya melawan tebasan pedang maksiat.

Al-Quran menggambarkan manusia yang merasa aman dari perbuatan maksiat dalam surah Al-Mujadilah ayat 8 yang bermaksud: “Mengapa Allah tidak menyiksa kita disebabkan apa yang kita katakan itu?” Cukuplah bagi mereka Jahannam yang akan mereka masuki dan neraka itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.”

3. Mencemarkan jiwa dan menghilangkan rasa nikmat dalam beribadah.

Dosa-dosa kecil yang dilakukan terus menerus walaupun boleh dihapuskan dengan melakukan solat dan berpuasa sepertimana tersebut di dalam Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: ”Sembahyang lima waktu, Jumaat hingga Jumaat dan Ramadhan hingga Ramadhan menjadi penghapus dosa di antaranya. Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar,”

Akan tetapi kekerapan melakukan dosa bagaimanapun akan membawa pengaruh yang buruk dalam keseluruhan peribadi seorang Muslim. Setiap perbuatannya yang mewakili kejahatan akan membekas di dalam jiwa. Apabila perbuatan dosa itu semakin sedap dilakukan maka akan dicabut nikmat dari dalam hati hamba ketika bermunajat kepada Allah. Dan digantikan dengan azab yang tidak nampak. Apakah bentuk azab itu?

Tahukah anda azab yang paling menyakitkan berbanding kanser, muflis, dipulaukan kawan-kawan, dijarah harta benda, dilucutkan daripada pangkat dan jawatan bahkan diaibkan di dada akhbar? Azab ini begitu merbahaya, mematikan kesucian jiwa hingga meranapkan binaan iman. Azab yang melanda hati. Iaitu apabila hati tidak merasai kemanisan berdekatan dengan Allah Taala, apabila kenikmatan ibadat itu telah dicabut daripada rongga hati.

Selagimana seseorang itu melakukan dosa dia tidak akan merasai nikmatnya beribadah.

Apakah ada kekhusyukan ibadat bagi orang yang menyimpan amarah, dengki dan cemburu kepada orang lain? Adakah terasa nikmatnya berpuasa bagi orang yang tak pernah puas melayani hawa nafsunya? Adakah berkesan ibadah zakat dan sedekah bagi mereka yang tamak kepada harta orang lain? Adakah nikmat merasai kelazatan al-Quran bagi orang yang suka membaca aib orang lain dengan begitu teliti.

Semua ini adalah akhir dari rentetan panjang sejarah dosa-dosa kecil yang dilakukan, bermula secara senyap, sedikit dan tak nampak. Akhirnya menjadi kebiasaan, terang-terangan tanpa rasa malu dan takut . Bermula melakukan dosa kecil berakhir dengan kejahatan besar yang menjadi penyesalan buat selama-lamanya.

Sumber :- Drjuanda.com

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive