Sunday, 10 June 2012

JANGAN CEROBOH TANAH KAMI - ORANG ASLI ROMPIN




ROMPIN: Kira-kira 300 Orang Asli sekitar daerah ini dan beberapa daerah lain berhimpun di hadapan Pejabat Tanah dan Daerah Rompin kelmarin untuk menyampaikan memorandum memohon pengiktirafan kerajaan terhadap Tanah Adat Orang Asli.
Memorandum daripada Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) yang disampaikan oleh wakil Orang Asli kepada Pegawai Daerah Rompin, Datuk Syed Ahmad Fuad Syed Taha itu turut membantah terhadap pencerobohan tanah penduduk.

Antara lain memorandum yang turut ditujukan kepada Menteri Besar Pahang dan Perdana Menteri itu mendedahkan, di Rompin isu pencerobohan Tanah Adat Orang Asli amat ketara melibatkan pembukaan ladang baru kelapa sawit serta lombong-lombong bijih besi dan emas menyebabkan kediaman komuniti tersebut semakin terhakis.
Akibat daripada itu timbul masalah berlaku pencemaran bekalan air bersih yang kritikal dan kerosakan tanah kediaman yang teruk berikutan peninggalan kawah lombong sehingga Orang Asli setempat kehilangan sumber pemakanan dan pendapatan.

Serentak dengan itu mereka menuntut kerajaan pusat dan setiap kerajaan negeri mengiktiraf Wilayah Adat Orang Asli sama ada Tanah Adat, laut dan tasik dengan mengikut proses keizinan maklumat awal bebas dan telus kepada semua perkampungan Orang Asli berkenaan.

Kerajaan juga diminta menghormati, mengiktiraf dan mengambil kira hak-hak Orang Asli di bawah perkara 8(5)(c) Perlembagaan Persekutuan dan menguatkuasakan hak sebagai orang asal seperti terkandung didalam Deklarasi Hak Asasi Orang Asal Sejagat yang disokong berulang-kali oleh kerajaan Malaysia di gelanggang politik antarabangsa.

Kumpulan Orang Asli berkenaan akhirnya menuntut kerajaan pusat dan negeri menghentikan sebarang pelupusan, pemajakan, penyewaan atau pemberian hak dan melarang pencerobohan tanah mereka sehingga satu polisi yang holistik mengenai pengiktirafan semua perkampungan Orang Asli.

Sementara itu seorang wakil Orang Asli yang berucap, Fatimah, mahu pihak kerajaan dari peringkat daerah hinggalah kepada negeri dan pusat supaya mendengar suara mereka.

“Himpunan pagi ini adalah titik permulaan kebangkitan Orang Asli menuntut hak kami demi masa depan keturunan kami dan generasi kami pada masa akan datang,” katanya bersemangat. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive