Sembelih emak saudara

Tampin - Hanya kerana salah faham, seorang pembantu makmal sekolah di Gemencheh, parah dikelar di lehernya, oleh anak saudaranya.

Kejadian berlaku di dalam kereta mangsa, berhampiran Pasar Besar Gemencheh, di sini, petang kelmarin.

Difahamkan, sebelum kejadian, suspek seorang wanita yang berperwatakan lelaki (tomboi) berusia 26 tahun, datang ke tempat kerja mangsa untuk menyelesaikan salah faham tetapi mangsa meminta suspek menunggu sehingga tamat waktu bekerja.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, suspek dipercayai meninggalkan mangsa di tepi jalan dan melarikan diri menggunakan kenderaan mangsa.

“Orang awam yang melalui lokasi kejadian iaitu di tepi jalan yang hanya kurang 100 meter dari lokasi mangsa bekerja segera membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Gemencheh.

“Mangsa parah dikelar menggunakan pisau dan dikejarkan ke Hospital Tampin, sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya, semalam.

Kooi Cheang berkata, suspek yang nekad melarikan diri menggunakan kereta mangsa berjaya ditahan semasa bapanya menghantarnya untuk menyerah diri di Balai Polis Tampin, kirakira jam 12 tengah malam, semalam.

“Suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini (semalam) bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. - sH