Saturday 11 August 2012

Fatwa kafir harbi umpama ajak perang - MAZA



SHAH ALAM: Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin  berkata tindakan membuat 'fatwa' bahawa DAP adalah 'kafir harbi', boleh membawa kesan mendalam seolah-olah meminta orang Islam berperang.

"Kemungkinan dia tidak tahu kesan kenyataan, kesan perkataan dikeluarkan, tidak tahu bahawa ia boleh membawa kepada permusuhan, tidak baik bagi negara majmuk dan pelbagai agama seperti Malaysia,"katanya dipetik Sinar Harian Online.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengasas Pondok Geting, Tumpat Abdullah Sa'amah, dipetik Utusan Malaysia kelmarin bahawa umat Islam haram menyokong DAP kerana ia menolak Islam dan tergolong dalam kafir harbi.

Katanya, mana-mana pihak perlu membuat penelitian dalam konteks politik sebenar negara ini sebelum mengeluarkan 'fatwa' sedemikian.

"Kalau kita kata haram (mengundi DAP) kerana dia tidak menyokong negara Islam, ada juga parti dalam BN seperti MCA dan MIC tidak menyokong... jadi kita mengambil pendirian sebahagian sahaja (dalam mengatakan haram dan dosa)," kata beliau lagi.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata, mana-mana hukum yang dikeluarkan perlu bersandarkan syarak dengan dalil-dalil dan nas yang betul, bukan boleh dikeluarkan sewenangnya dengan bersandarkan perasaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan segera mengeluarkan fatwa berhubung kenyataan tersebut, lebih-lebih lagi kenyataan yang melabelkan DAP sebagai 'kafir harbi'.

Ini kerana, katanya kenyataan itu merupakan satu perkara yang begitu besar kerana dihalalkan darah mereka, harta mereka yang disifatkannya boleh menimbulkan suasana tidak aman di dalam negara berbilang kaum dan agama ini.

Pandangan Islam terhadap 'kafir harbi'telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Qur'an surah Al Mumtahanan ayat 9, yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu karena agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim".

Dari ayat ini, para mufassirin dan fuqaha menegaskan, kafir harbi adalah orang kafir yang diam dan hidup dalam wilayah pentadbiran ummat Islam atau diluarnya, mereka berkhianat kepada Negara Islam, memusuhi, tidak mahu berdamai, menjalankan usaha merosakkan ummat Muslimin dan agama Islam.

Mereka ini mesti diwaspadai dan diperangi sekiranya mereka menyerang ummat Islam atau membantu pihak lain menyerang ummat Islam. Dan Allah SWT juga memerintahkan kita ummat Muslimin supaya tidak menjadikan mereka sahabat, kawan rakan, pembela dan wali (pemimpin). - SH

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive