Tuesday, 7 August 2012

'LEMBU' TIDAK TERLIBAT DALAM SKANDAL NFC ??



KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata beliau tidak terlibat dalam proses kelulusan atau pentadbiran National Feedlot Corporation (NFC) Sdn Bhd.

Shahrizat, 59, yang memberi keterangan pada prosiding saman fitnah terhadap Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin dan pengarah strategi parti itu, Mohd Rafizi Ramli, turut menyifatkan siaran akhbar dan kenyataan defendan sebagai serangan peribadi terhadapnya sebagai menteri serta Ketua Wanita Umno.

"NFC seolah-olah hanya satu alat yang digunakan untuk menyerang saya secara peribadi. Yang Arif boleh nampak bagaimana defendan sering merujuk NFC sebagai 'syarikat milik keluarga Shahrizat', 'syarikat milik suami Shahrizat' atau 'anak Shahrizat'.

"Defendan telah memutarbelitkan cerita ini sepenuhnya semua ini dalam percubaan jahat mereka untuk menyerang saya sebagai menteri dan Ketua Wanita Umno serta Ketua Wanita Barisan Nasional," katanya ketika disoal peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah.

Shahrizat berkata beliau percaya pembangkang telah merancang untuk menjadikannya sebagai sasaran utama serangan mereka dan tidak berminat mencari kebenaran dalam isu NFC.

"Ia merupakan muslihat mereka untuk menjatuhkan serta memburuk-burukkan saya sebagai seorang ahli politik, menteri dan pemimpin Barisan Nasional.

"Jika Yang Arif kaji kenyataan dan dakwaan yang dibuat berkaitan NFC, defendan kelihatan seolah-olah tidak ingin mendengar maklum balas daripada NFC sendiri, sebaliknya lebih berminat untuk mendapatkan maklum balas saya hanya kerana saya ialah isteri pengerusi NFC," katanya.

Shahrizat berkata nama beliau telah dibersihkan daripada mana-mana salah laku atau mempengaruhi proses membuat keputusan NFC selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 31 Mei.

Shahrizat berkata Rafizi telah membuat rumusan yang mendakwa beliau bertanggungjawab atas segala-galanya yang melibatkan NFC dan mencadangkan beliau memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas salah laku atau jenayah.

"Ini adalah tidak adil dan hanya menambahkan kebencian dalam kempen terhadap saya. Pada asasnya, hampir setiap orang yang saya temui memaklumkan perkara itu dan tuduhan tidak berasas terhadap saya ini hingga menjadi topik perbualan di Internet dan rangkaian sosial," katanya.

Shahrizat juga berkata Zuraida pula secara tidak langsung mendakwa beliau meraih keuntungan secara tidak sah.

Pada 19 Jan lalu, Shahrizat memfailkan saman terhadap Zuraida dan Mohd Rafizi berhubung kenyataan yang didakwa memfitnah beliau dalam isu NFC.

Shahrizat menuntut ganti rugi am RM50 juta dan RM50 juta lagi sebagai ganti rugi teladan dan teruk daripada defendan.

Beliau juga memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada terus mengeluarkan kenyataan sama ada secara lisan atau penerbitan terhadap beliau berhubung NFC atau syarikat bersekutu.

Prosiding di depan Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera bersambung Jumaat ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive