Friday 3 August 2012

BERITA BAIK BUAT PENJAWAT AWAM



PUTRAJAYA - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini mencadangkan penyelarasan imbuhan tetap perumahan kepada RM450 sebulan untuk semua penjawat awam dan penurunan kadar faedah pinjaman perumahan daripada 4 peratus kepada 1 peratus.

Timbalan Presiden Cuepacs Aziz Muda berkata cadangan tersebut antara 23 syor yang dikemukakan Cuepacs kepada Suruhanjaya Khas Mengenai Transformasi Perkhidmatan Awam.

"Satu perkara yang kita beri penekanan kepada suruhanjaya adalah isu perumahan. Ini kerana dengan lonjakan harga rumah, dengan gaji yang diterima penjawat awam pada hari ini menyebabkan mereka tidak mampu memiliki rumah.

"Jadi kita minta suruhanjaya dan kerajaan melihat perkara ini secara komprehensif," katanya kepada pemberita selepas sesi pembentangan penambahbaikan perkhidmatan awam di bangunan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini hari ini.

Turut dicadangkan ialah pelarasan elaun bantuan sara hidup (COLA) kepada RM400 sebulan berbanding RM150 dan RM300 pada masa ini serta cadangan menaikkan elaun tetap keraian.

Beliau berkata semua cadangan itu diharap dapat dilaksanakan tahun depan.

"Kita juga minta 22 klasifikasi perkhidmatan yang telah diberi persetujuan untuk dinaik taraf (dalam Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA)) daripada gred 17 kepada gred 27 seperti juruteknik, renjer hutan, pembantu pertanian berkuatkuasa 1 Januari 2012," katanya.

Aziz berkata selain 23 syor itu, Cuepacs turut membentangkan 23 isu penjawat awam pada masa ini serta 24 cadangan penambahbaikan untuk memberi pengiktirafan kepada penjawat awam.

Katanya Cuepacs komited mengubah persepsi rakyat mengenai kualiti perkhidmatan awam demi kepuasan rakyat.

"Kami komited untuk memberi jaminan kepada kerajaan bahawa Cuepacs menyokong penuh supaya perubahan drastik dibuat untuk memperbaiki sistem penyampaian yang ada sekarang ini," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive