Monday 14 October 2013

[VIDEO] Acara Baling Mikrofon!!! Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Gua Musang


Insiden baling mikrofon Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Gua Musang di Bukit Chekati. Gara-gara pencalonan ditolak empat perwakilan daripada Cawangan Sungai Paloh naik angin.


Kekecohan itu bermula ketika mesyuarat sedang berlangsung dan seorang wakil Wanita bangun dan menyuarakan rasa tidak puas hati kerana senarai 21 calon ahli jawatankuasa Wanita Umno bahagian ditolak pada hari penyerahan pencalonan.

Mereka menganggap pemimpin Wanita Umno bahagian keterlaluan kerana menolak pencalonan itu walaupun diserah pada jam 5.01 petang pada 21 September lalu.

Berikutan itu, seorang daripada mereka merampas mikrofon dan terus melemparkannya ke lantai sebelum mereka dipujuk seorang pemimpin Wanita supaya bersabar kerana keputusan penolak permohonan pencalonan itu diputuskan peringkat Umno Pusat.



Selepas 10 minit, keadaan kembali reda untuk memberi laluan kepada Ketua Wanita Umno bahagian itu, Datuk Wan Hazani Mohd Noor, yang menang tanpa bertanding jawatan berkenaan berucap dan menjelaskan perlembagaan Umno yang menetapkan cara baru pemilihan pemimpin tahun ini.

Perwakilan terlibat, Rohaya Abdul Gani mengakui membuat bantahan begitu kerana tidak berpuas hati dengan barisan kepimpinan Wanita Umno bahagian berkenaan.

Menurutnya, walaupun menyerahkan borang pencalonan itu lewat tetapi ia seharusnya diterima untuk menunjukkan amalan demokrasi dalam parti.

“Saya tidak setuju dengan penolakan itu kerana kita mahu ada pertandingan secara sihat bagi masa depan Melayu dalam Umno,” katanya.




Sumber juga cuba mendapatkan maklum balas daripada perwakilan yang melemparkan mikrofon itu namun, beliau enggan memberi sebarang komen.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Bahagian Gua Musang, Muhammad Shukri Abd Aziz, yang tampil memberi penjelasan itu kepada pemberita berkata, perkara itu sepatutnya tidak timbul lagi kerana borang pencalonan mereka ditolak sendiri di peringkat Pusat.

Beliau mengakui pada mulanya kumpulan seramai 21 orang, termasuk calon pencabar Ketua Wanita Umno bahagian, Siti Khadijah Mohd Noor menyerah borang pencalonan serentak pada jam 5.01 petang selepas ditutup jam 5 petang.

“Ketika menerima borang pencalonan mereka, kita sudah mengadakan mesyuarat membincangkan perkara terbabit dan semuanya memutuskan borang itu terpaksa ditolak kerana melebihi masa. Tetapi kita mengambil borang mereka untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Pemilihan Umno Negeri Kelantan.

“Selepas itu, borang itu dirujuk kepada Jawatankuasa Pemilihan Umno Peringkat Pusat, tetapi sebelum keputusan penolakan itu dibuat, Siti Khadijah membuat permohonan menarik diri daripada bertanding jawatan Ketua Wanita Umno,” katanya.

Katanya, perwakilan Wanita Umno yang masih membangkitkan perkara itu perlu faham perkara sebenarnya dan surat mengenai penolakan mereka juga sudah diterima Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Peringkat Pusat, Tajol Rosli Mohd Ghani.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive