Friday 11 October 2013

Tun M Pertahan 'Tembak Dulu' Menteri KDN


KUALA LUMPUR - Tun Dr. Mahathir Mohamad mempertahankan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung tindakan pasukan polis menembak mati penjenayah bagi menjaga keselamatan anggota tersebut.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, jika seorang individu atau penjenayah yang mempunyai senjata, pasukan polis lebih baik menembak mereka dahulu atas faktor keselamatan.

”Apabila berdepan dengan penjenayah yang ada senjata dan mempunyai kemungkinan untuk menembak polis, adalah lebih baik anggota keselamatan itu menembak mereka dahulu.

”Saya beranggapan lebih baik membiarkan penjenayah berdepan dengan risiko ditembak daripada meletakkan risiko bahaya itu ke atas pihak keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek kerja-kerja bawah tanah dan terowong Lembah Klang Mass Rapid Transit (MRT) di Jalan Cochrane, Cheras di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ahmad Zahid dalam satu majlis taklimat keselamatan bersama pemimpin masyarakat yang dibuat secara tertutup Sabtu lalu.

Walaupun majlis taklimat itu dibuat secara tertutup, portal propembangkang Malaysiakini dalam laporannya Isnin lalu memetik ucapan Ahmad Zahid yang memberi gambaran bahawa lebih baik jika suspek tersebut ditembak terlebih dahulu, sebelum siasatan dijalankan.

Mengulas tentang Agenda Memperkasa Ekonomi Bumiputera, Dr. Mahathir percaya agenda tersebut perlu bagi memantapkan perbezaan antara kaum.

Beliau berkata, usaha kerajaan itu bukan mahu memihak kepada bumiputera, sebaliknya memberi ‘bahagian mereka’.

Sementara itu, Ahmad Zahid ketika ditemu bual di Ibu Pejabat Utusan (M) Malaysia di sini, menyelar sikap tidak bertanggungjawab portal berkenaan dan mempersoal mengapa Malaysiakini hanya bertindak menyiarkan separuh sahaja daripada keseluruhan ucapannya jika benar mengamalkan etika kewartawanan ketika membuat liputan.

Pada masa sama, beliau menjelaskan, kenyataannya menyokong tindakan polis dalam satu operasi sehingga membunuh lima anggota kongsi gelap Geng 04 di Pulau Pinang pada 19 Ogos lalu adalah kerana bersandarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada.

Tegasnya, tidak salah untuk beliau mempertahankan tindakan polis yang dibuat mengikut SOP kerana anggota beruniform tersebut sepanjang masa mempertaruhkan nyawa mereka dalam memerangi kegiatan jenayah demi keselamatan rakyat.

“Saya sokong tindakan polis kerana maklumat risikan mengesahkan semua suspek bersenjata api di tangan mereka. Apa yang dilakukan polis berpandukan maklumat sahih dan tembakan dibuat mengikut SOP. Maksud saya, jika beri amaran dahulu, saya pasti polis akan ditembak dahulu dan mati. Setiap kali polis jadi mangsa, mana pejuang hak asasi? Salahkah saya mempertahankan polis?

“Adakah saya tidak adil melakukan perkara ini? Saya mempertahankan anak buah kerana mereka mempertaruhkan nyawa untuk tugas demi keamanan dan keselamatan rakyat,” katanya. – Utusan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive