Tuesday 15 October 2013

The Herald Tiada Hak Guna Kalimah Allah

Mahkamah Rayuan semalam memutuskan penerbitan Katolik, The Herald tidak dibenar menggunakan kalimah ‘Allah’ di dalam edisi bahasa Melayunya.

Keputusan dibuat oleh tiga panel yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali; Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Pertikaian mengenai kalimah Allah ini bermula apabila KDN mengenakan larangan penggunaan kalimah Allah sebagai syarat untuk memperbaharui permit penerbitan itu pada 2007 dengan alasan antara lain, ia akan mengelirukan umat Islam.

Dalam penghakimannya, Mohamed Appandi berkata Mahkamah mendapati penggunaan kalimah ‘Allah’ bukanlah merupakan sebahagian daripada kepercayaan atau amalan agama Kristian.

“Justeru itu, mahkamah tidak melihat alasan kenapa responden (The Herald) begitu berkeras untuk menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan mingguan mereka.

“Penggunaan tersebut, sekiranya dibenarkan, akan mewujudkan kekeliruan di kalangan masyarakat,” katanya ketika membacakan ringkasan keputusan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember 2009 memutuskan The Herald boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya kerana kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan tidak memberi kuasa kepada kerajaan untuk menyekat penggunaan kalimah tersebut.

Ia juga berpendapat kalimah Allah bukan milik eksklusif umat Islam dan penggunaan kalimah Allah oleh orang Kristian dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan selagi ia tidak digunakan untuk berdakwah kepada umat Islam. - Sumber

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive