Wednesday 2 October 2013

Kerajaan Amerika Syarikat Menjunam Lumpuh!!!!


WASHINGTON – Pejabat Pengurusan dan Bajet White House semalam mengarahkan sebahagian agensi kerajaan Amerika Syarikat (AS) ditutup selepas Kongres gagal meluluskan satu bajet persekutuan khas bagi mengelak kegagalan fungsi kerajaan, kali pertama seumpamanya dalam tempoh 17 tahun.

Pengarahnya, Sylvia Mathews Burwell berkata, agensi-agensi kini diarah melaksanakan rancangan penutupan ekoran ketiadaan peruntukan.

Arahan itu dikeluarkan 10 minit sebelum 12 tengah malam tadi (12 tengah hari waktu Malaysia) di mana kerajaan AS secara rasminya tiada peruntukan selepas sehari Dewan Perwakilan yang didominasi Parti Republikan dan Dewan Senat yang kerusi majoriti dipegang oleh Parti Demokrat, gagal meluluskan bajet khas tersebut.

Keadaan itu berlaku selepas Parti Republikan menggesa perubahan dilakukan ke atas rang undang-undang penjagaan kesihatan negara sebagai pertukaran kepada persetujuan mereka ke atas bajet khas berkenaan, namun ia ditolak oleh Presiden, Barack Obama dan Parti Demokrat.

Beberapa jam sebelum 12 tengah malam tadi, Dewan Senat dengan undian 54-46 menolak satu usul oleh Dewan Perwakilan berhubung rang undang-undang bajet sementara yang membolehkan bajet khas itu diluluskan.

Penolakan itu dibuat kerana rang undang-undang bajet sementara tersebut turut menangguhkan pelaksanaan rang undang-undang penjagaan kesihatan selama setahun dan membatalkan pelaksanaan cukai ke atas peralatan perubatan.

Penutupan agensi-agensi kerajaan itu melibatkan kira-kira 800,000 kakitangan yang diberikan cuti tanpa gaji sehingga bajet tersebut diluluskan.

Tindakan itu juga menyebabkan kerugian kira-kira AS$1 bilion (RM3.23 bilion) seminggu.

Antara agensi dan jabatan terlibat dengan penutupan itu termasuklah Jabatan Pertahanan membabitkan 400, 000 kakitangan, Jabatan Perdagangan (30,000), Jabatan Pengangkutan (18,481) dan Jabatan Tenaga (12,700).

Namun, bahagian kritikal kerajaan lain termasuk agensi ketenteraan, kawalan trafik udara dan kuasa serta senjata nuklear akan kekal beroperasi.

Jabatan Negara juga terus beroperasi memproses permohonan visa rakyat asing selain kedutaan serta konsulat masih meneruskan perkhidmatan kepada rakyat di luar negara.

Obama berkata, kegagalan fungsi kerajaan akan segera memberi kesan kepada rakyat dengan beratus ribu kakitangan kerajaan perlu bercuti daripada tugas selain pusat veteran, taman negara, kebanyakan agensi angkasa lepas dan operasi kerajaan lain akan terganggu.

Beliau menyalahkan Parti Republikan yang cuba menggunakan bajet tersebut untuk memenuhi janji yang sukar dicapai kepada sayap parti berhaluan kanan mereka. – AFP/AP

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive