Tuesday, 8 October 2013

Ahli MT Dapat Bantu Gerak Kerja Parti Berterusan - Tun Faisal #TF4MT #No60 @TunFaisal


Calon ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Tun Faisal Ismail Aziz berpendapat bahawa kehadiran anggota MT yang tidak terikat dengan pentadbiran kerajaan ataupun Parlimen adalah penting kerana ia memastikan gerak kerja parti dapat dilaksanakan secara berterusan dan berkesan.

Jelas beliau yang juga Pengerusi Unit Media Baru (UMB) Pemuda UMNO Malaysia, ahli yang tidak terlibat dalam urusan pentadbiran kerajaan mahupun Parlimen boleh membantu mengisi kekosongan vakum yang tidak dapat diisi oleh pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO sebelum ini.

"Untuk bertemu dengan rakyat... untuk berhadapan dengan pembangkang dan juga untuk melaksanakan program di peringkat gerak kerja parti secara berterusan dan berkesan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Ditanya sama ada ahli MT yang terlalu ramai dalam pentadbiran kerajaan dan juga Parlimen merupakan satu kelemahan kepada parti, beliau berkata perlu ada keseimbangan di antara kedua-duanya.

"Dia perlu ada keseimbangan di sini. Kita perlukan juga anggota pentadbiran dalam MT, kita perlu juga ada ahli Parlimen dalam MT... kita juga perlukan orang-orang yang tidak terikat dengan tugas-tugas pentadbiran dan Parlimen, kerana waktu Parlimen bersidang ataupun waktu banyak tugas-tugas pentadbiran perlu dilakukan dalam kerajaan, gerak kerja parti akan terabai.

"Jadi kita perlukan orang-orang yang boleh buat gerak kerja parti secara berterusan," katanya.

Selain itu, jelas Tun Faisal mereka yang tidak terikat dengan tugas-tugas pentadbiran juga boleh bercakap dengan nada parti dan bukan dalam nada kerajaan.

Sementara itu, beliau berpandangan bahawa pertemuan secara dialog adalah lebih baik berbanding dengan perdebatan di antara calon-calon naib presiden dalam pemilihan UMNO nanti.

Katanya, perbincangan dalam bentuk dialog dapat menggalakkan suasana kekeluargaan dan saling hormat menghormati.

Bagaimanapun beliau tidak menentang sekiranya perdebatan secara sihat diadakan, menyifatkannya ia bagus jika dilaksanakan.

"Kalau boleh diadakan ia bagus tetapi dalam bentuk dialog berbanding perdebatan kerana ini menggalakkan suasana kekeluargaan dan saling hormat menghormati," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Namun katanya ia juga tidak menjadi masalah sekiranya tidak dilaksanakan kerana ada yang berpandangan bahawa cara tradisi iaitu dengan turun berjumpa perwakilan lebih mempunyai sentuhan peribadi.

"Bagi saya kita patut raikan kalau sempat alhamdulillah kita buat, kalau ada yang lebih yakin dengan cara tradisi kita serahkan kepada kebijaksanaan calon yang mengendalikan gerak kerja kempen masing-masing," tambahnya.

Baru-baru ini, ahli Veteran Umno, Tun Musa Hitam mencadangkan agar keenam-enam calon naib presiden dalam Pemilihan Umno 2013 ditemukan dalam satu perdebatan melalui televisyen.

Kata beliau, perdebatan itu sesuai dengan transformasi Umno dalam sistem pemilihan barunya sempena proses yang bakal berlangsung pada 19 Oktober ini. - Sumber

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive