Friday 29 March 2013

#LahadDatu : Foto - Penduduk Balik Tengok Rumah #HariPolis


Hari ini penduduk kampung yang terjejas akibat pencerobohan di Lahad Datu meninjau rumah mereka yang rata-rata rosak. 11 Foto untuk dikongsi bersama pembaca sekitar lawatan yang dikawal oleh anggota polis dan tentera.

Ketua Kampung Tanjung Batu, Mahmod Mallang, 72, berkata, dia sama sekali tidak menyangka rumahnya yang diduduki sejak 1959 terbakar dan beberapa harta lain turut musnah seperti kereta serta motosikal.

Katanya, ketika pertempuran berlaku di Kampung Tanjung Batu pada 6 Mac lalu itu, dia mempunyai urusan di bandar Lahad Datu.

Katanya, anak lelakinya, Azmain, 35, menghubunginya bagi memaklumkan mengenai pencerobohan di kampung itu dan menasihatkan agar tidak pulang kerana kumpulan pengganas Kiram itu mencarinya.

“Saya mengambil keputusan untuk tinggal di rumah saudara di Fajar Harapan dan hari ini merupakan hari pertama saya bersama lebih 30 wakil keluarga dibawa ke rumah masing-masing untuk melihat sendiri kesan pertempuran,” katanya yang ditemui di sini hari ini.

Dalam lawatan pagi ini, kumpulan penduduk diiringi oleh pasukan keselamatan yang bersenjata lengkap.

Selain wakil keluarga, pihak Pejabat Daerah Lahad Datu dan wakil Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut dibawa bersama bagi menilai kerosakan yang dihadapi penduduk kampung berkenaan.

Mengulas lanjut, Mahmod berkata, dia juga amat terkejut melihat persekitaran perkampungan itu.

Menurutnya, bukan sahaja terdapat beberapa buah rumah hangus terbakar dan tidak boleh diduduki lagi, kesan tembakan boleh dilihat pada keseluruhan rumah di situ.

Tambahnya, kelongsong peluru daripada senjata ringan dan berat masih bertaburan di seluruh kawasan kampung.

Meskipun begitu katanya, hasil perbincangan pihaknya bersama penduduk lain, kebanyakannya masih mahu kembali tinggal di kampung halaman mereka.

Namun begitu katanya, hasrat mereka itu masih bergantung kepada jaminan keselamatan yang akan diberikan oleh pihak berkuasa, malah akan sentiasa mematuhi arahan jika dinasihatkan untuk mencari penempatan baharu.

1 comment:

  1. mana puak2 pakatan haprak...minta sangat diorang p melawat rumah penduduk kampung yang musnah...sandiwara kepala bapak die...

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive