Tuesday, 26 March 2013

Jom Pakat Berebut Kerusi Dengan Pembangkang !!!


Sana sini heboh maklum tentang 'tabiat' rebut kerusi dalam kalangan Pakatan Rakyat (PR) pada ketika bahang pembubaran Parlimen semakin dirasai untuk memberi laluan kepada 'ibu segala pilihanraya' PRU-13 dilangsungkan. Berikut adalah antara episod permainan 'rebut kerusi' mereka;

Parlimen Gelang Patah

Pertelagahan antara Ketua DAP Johor dan Pengerusi PKR Johor akhirnya ditamatkan oleh pengumuman Ketua Umum PR bahawa calon kerusi ini adalah veteran DAP, Lim Kit Siang. Tidak semena-mena, nama Lim Kit Siang yang dipilih sehingga menyebabkan kelibat Chua Jui Meng tidak lagi kelihatan dalam mana-mana ceramah umum di Johor setelah pengumuman tersebut. Difahamkan, Chua Jui Meng akan ditawarkan sebuah kerusi di Kedah, persoalannya, apakah PKR di Kedah ada pengaruh kuat? Dan yakinkah PR masih memimpin Kedah selepas PRU-13 ketika gelombang 'Save Kedah' oleh BN kuat bergema!

Parlimen Bagan Serai

Pengerusi PKR Perak, Dr. Muhamad Nur Manuty diumumkan oleh Anwar Ibrahim sebagai calon kerusi ini dalam satu ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Bagan Serai tempoh hari. Berikutan pengumuman ini, PAS Kawasan Bagan Serai menzahirkan protes dengan mengadakan sidang akhbar menyatakan tidak menyokong pencalonan PKR di kawasan ini malahan nekad meletakkan calon dari PAS. PAS Bagan Serai turut memaklumkan kemungkinan besar berlakunya pertandingan 3 penjuru antara calon BN vs calon PKR vs calon PAS. Sekiranya pucuk pimpinan tertinggi PAS tidak merestui permintaan PAS Bagan Serai, mereka juga nekad memboikot jentera PAS untuk tidak membantu calon PKR malahan tidak akan turun mengundi calon PKR tersebut.

Seimbas lalu, kerusi Bagan Serai adalah kerusi 'tradisi' PAS sebelum diserahkan kepada PKR pada PRU-12. Pada PRU-12, calon PKR, Mohsin Fadzil menang tetapi bertindak keluar parti selepas itu dan menjadi YB Bebas. Masakan PAS tidak serik dengan 'pengkhianatan' rakan sekutu mereka..?

Perkembangan terbaru, Anwar Ibrahim dikatakan bakal bertanding di Kerusi Bagan Serai sebagai langkah menamatkan konflik pertelagahan ini. Situasi yang hampir sama dilakukan di Gelang Patah. Apakah kepimpinan PAS Bagan Serai sudi menerima jangkaan keputusan ini? Dan di manakah nasib Dr Manuty yang sudah diumumkan sebagai calon di sini?

DUN Changkat Jering

YB Mohamad Nizar, bekas MB Perak diumumkan sebagai calon untuk kerusi ini oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Hussain. Pengumuman ini katanya telah mendapat restu Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali turut berjaya mencetuskan konflik dengan rakan pakatan yakni PKR. PKR Perak menyatakan ketegasan bahawa pencalonan YB Nizar ini bukti PAS telah 'melanggar syarat' antara mereka difahamkan berkenaan isu pertukaran kerusi boleh menang. Walau bagaimanapun, PAS Perak bertegas meletakkan calon di DUN ini sebagai respons 'balas dendam' kepada pengumuman PKR meletakkan calonnya di Parlimen Bagan Serai.

Untuk rekod, kerusi Changkat Jering sehingga 2004 milik PAS sebelum dihadiahkan kepada PKR pada 2008. Kpt (B) Osman Jailu dari PKR menang tetapi bertindak keluar PR selepas memenangi kerusi ini.

DUN di Kedah

Kebuntuan sudah membarah dan terbaru, kes sabotaj satu ceramah PR di Alor Semadom, Alor Setar dipercayai dari kelompok dalam PR akibat ketidakpuashatian berkenaan pencalonan kerusi. Dikhabarkan, PAS Alor Setar yang mahu berebut DUN Bakar Bata, milik kuota PKR sebelum ini. PAS berkeras mahu meletakkan Timbalan Yg Dipertua PAS Alor Setar yang gigih melobi sehingga merancakkan pertengkaran mulut antara PKR dan PAS. Itu bukan satu-satunya kes di Kedah, umum mengetahui, penentuan formula pembahagian kerusi antara PAS, DAP dan PKR di Kedah masih bermasalah kerana kedegilan PAS untuk menggunakan formula sama pada PRU 2008. Dalam formula itu, DAP tentunya seperti 'melukut di tepian gantang'.....

Dalam permainan 'rebut kerusi', memang ada seronoknya. Mengelilingi bulatan kerusi sambil diiringi alunan muzik, muzik dihentikan, kita pun berebut. Pasti ada yang terjatuh tersingkir tak mendapat kerusi. Dalam realiti politik, yang 'bermain rebut kerusi' bukan seorang. Pemainnya disingkir, penyokongnya bakal menyingkir...

Sepanjang pengamatan, tabiat sebegini tidak diamalkan Kerajaan BN kerana permuafakatan 13 parti komponen cukup utuh dan bukan secara semberono tetapi diperhalusi sebaiknya oleh YAB Pengerusi BN untuk transformasi politik yang berkesan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive