Friday 29 March 2013

#OpsDaulat :Pengganas Kiram Menyamar Jadi Orang Awam #LahadDatu #HariPolis

Pasukan keselamatan negara akan meningkatkan lagi operasi bagi menghapuskan saki-baki kumpulan pengganas Kiram yang menyamar sebagai orang awam untuk melepaskan diri daripada ditangkap.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zain berkata, kumpulan pengganas berkenaan telah berpecah kepada kumpulan kecil dan cuba menyamar sebagai orang awam.

"Ops Daulat masih berterusan dan sebagaimana dalam tempoh empat hari ini, kita dalam usaha untuk membersihkan saki-baki pengganas dalam kawasan operasi.

"Mereka sekarang ini berpecah kepada kumpulan kecil dan cuba melarikan diri, saki-baki pengganas ini juga ada yang memakai pakaian awam dan senjata mereka telah disembunyikan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2013 di sini hari ini.

Berhubung pertempuran yang berlaku semalam, beliau berkata, sekumpulan pengganas telah dikesan dan pihaknya akan terus menjejaki mereka.

Semalam, sepucuk pistol, enam butir peluru dan sebilah parang dirampas pasukan keselamatan selepas berbalas tembakan dengan saki-baki pengganas Kiram di Sungai Bilis di Lahad Datu, Sabah.

Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, tiga pengganas Kiram melarikan diri selepas melakukan serang hendap terhadap sepasukan anggota pasukan keselamatan yang menjalankan operasi pembersihan dan penggeledahan di kawasan itu.

Dalam pada itu, Zulkifeli berkata, beliau yakin kerajaan Sabah dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengenal pasti kawasan baharu untuk penempatan sementara penduduk Kampung Tanduo, Lahad Datu yang kini masih lagi berada di pusat pemindahan sementara.

"Kita juga telah menghantar pasukan penilaian kerosakan ke Kampung Tanjung Batu untuk menilai kemusnahan harta benda, tanaman serta haiwan peliharaan penduduk kampung.

"Dalam masa terdekat ini juga, kita akan membawa orang kampung melihat rumah masing-masing," katanya.

Sumber

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive