Friday, 2 March 2012

KERAJAAN ADIL KEPADA SEMUA ANGGOTA TENTERA - PM

Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan memberi keadilan kepada semua anggota tentera agar dapat menikmati dan tidak tersisih daripada semua kemudahan yang diberikan oleh kerajaan selama ini.

Perdana Menteri berkata sebagai contoh adalah kemudahan yang kerajaan berikan kepada anggota tentera Rejimen Sempadan yang kehidupan mereka kini jauh lebih baik sebelum diserapkan ke rejimen itu.

"Saya pernah melawat kem ini ketika menjadi Menteri Pertahanan pada 2008 dan saya rasa sangat sedih dan menyayat hati melihat kem ini ketika itu.

"Saya buat keputusan dalam hati saya mahu membantu bagi memastikan anggota tentera kerahan (sebelum diserapkan ke rejimen itu) ini terjamin dalam soal kebajikan dan sebagainya," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Rejimen Sempadan Batalion 2, Kem Batu Melintang di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Perdagangan Antarabangsa Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Najib berkata bahawa sebelum ini pasukan kerahan tersebut walaupun mendapat gaji setiap bulan sama seperti anggota tentera lain tetapi mereka tidak mendapat kemudahan seperti pencen serta pinjaman kenderaan dan perumahan.

"Saya mahu pasukan kerahan pada masa itu dapat menempa kehidupan yang sama dengan yang lain dan berkat usaha yang dilakukan kerajaan kini kehidupan mereka jauh lebih baik dari dahulu," katanya. 

Perdana Menteri berkata kerajaan berpendapat bahawa jika kebajikan anggota tentera dijaga dengan baik, mereka akan berkhidmat dengan sepenuh hati dan menjadi kebanggaan negara.

Pada majlis itu Najib turut mengumumkan pemberian peruntukan RM600,000 kepada dua kem rejimen itu di sini.

Zulkifeli pula berkata semua janji Perdana Menteri kepada anggota tentera selama ini telah ditunaikan dan wajar semua anggota tentera berbangga kerana kebajikan mereka sangat diambil berat oleh kerajaan.

"Jasa Perdana Menteri sangat besar kerana beliaulah yang memastikan Rejimen Sempadan ini diwujudkan dengan pasukan kerahan diserapkan sepenuhnya," katanya.


Sumber : Sg.Rapat On9

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive