Wednesday 28 March 2012

BIAR BETUL!!! : Orang Asli mengadu kubur jadi lapang sasar???


Orang Asli Mahmeri dari Banting mendakwa menghadapi masalah melakukan upacara keagamaan apabila tanah perkuburan mereka di Bukit Jugra dijadikan sebagai Lapang Sasar menembak oleh Kementerian Pertahanan.

Dalan sesi inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) semalam, seorang penduduk terlibat Ariff Embing mendakwa kesukaran itu membuatkan mereka terpaksa mengadakan upacara keagamaan di tempat lain yang jauh.

"Lapangan sasar itu tidak mengganggu kawasan perkuburan Orang Asli tetapi kawasan (perkuburan) itu di dalam lapangan sasar. Jadi susah kita mahu masuk.

"Kemudian kami pindah buat upacara keagamaan itu di Pulau Carey (Kuala Langat). Tetapi jaraknya jauh," katanya pada pendengaran awam inkuiri nasional mengenai hak tanah Orang Asli di ibu pejabat Suhakam, di Kuala Lumpur semalam.

Panel inkuiri tersebut diketuai oleh Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam dan dianggotai oleh Pesuruhjayanya, Datuk Dr Khaw Lake Tee, Naib Pengerusi, Jannie Lasimbang serta dibantu oleh pakar perunding bebas Dr Colin Nicholas dan Datuk Denison Jayasooria.

Kes itu merupakan salah satu yang didengar semalam dan dikategorikan sebagai pencerobohan oleh pihak kerajaan, swasta dan individu.

Kementerian: Kami tak dimaklumkan

Selain itu, Ariff turut memberitahu, sebelum ini pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah memberi jaminan secara lisan bahawa mereka bebas untuk melakukan upacara keagamaan di tanah perkuburan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, apabila mereka ingin memasuki kawasan tersebut, mereka dilarang oleh pihak tentera.

"Kami pernah buat permohonan dengan pihak tentera untuk masuk. (Kami) dibenarkan. Tetapi sekali sahaja. Setiap kali nak masuk, kita perlu mohon kebenaran. Saya harap pihak JAKOA boleh mengemukakan permohonan," katanya.

Sementara itu, pada inkuiri sama, wakil kementerian pertahanan Mejar Baharom Ismail berkata, pihaknya tidak dimaklumkan mengenai kewujudan tanah perkuburan Orang Asli di lapangan sasar itu.

Katanya lagi, beliau hanya mengetahui adanya tanah perkuburan Orang Asli di kawasan itu selepas dimaklumkan oleh Suhakam.

"Kami tidak dimaklumkan ada kawasan perkuburan sehinggalah Suhakam panggil. Dan kami telah pergi kawasan tersebut dan kebanyakan yang kami jumpa ialah 'jirat' Cina.

"Saya ada pergi memantau ke kawasan atas (bukit) lapangan sasaran tetapi tidak ada apa-apa. Mungkin (ia) berada di kanan atau kiri kawasan itu. Saya tak pasti," katanya.

Inkuiri julung-julung kali

Selain itu, ketika ditanya adakah pihak kementerian meminta bantuan JAKOA untuk memantau kawasan itu, beliau berkata ''tidak ada''.

Bagaimanapun, Baharom berkata, pihaknya terbuka untuk menerima permohonan daripada Orang Asli bagi memberi kebenaran memasuki kawasan lapangan sasar untuk mengadakan upacara keagamaan di kawasan perkuburan itu.

Inkuiri nasional Suhakam merupakan julung kali diadakan berikutan banyak aduan dan memorandum yang diterima sejak beberapa tahun lepas atas dakwaan pelanggaran hak ke atas tanah adat.

Sebelum inkuiri diadakan, Suhakam terlebih dahulu telah mengadakan sesi konsultasi awam di beberapa lokasi di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia pada tahun lalu.

Inkuiri ini berlangsung semalam sehingga Jumaat ini.-mk

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive