Nur Adha (kanan) bersalaman dengan anak muridnya Sritharan sambil diperhatikan oleh keluarga murid


PETALING JAYA – Guru Bahasa Inggeris yang tidak sengaja membaling selipar ke muka anak muridnya meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut di masa akan datang.

Guru berkenaan Nur Adha Mat Ali, 30, berkata, apa yang berlaku benar-benar di luar kawalan dan dia sendiri menyesal di atas apa yang berlaku.

“Saya minta maaf kepada murid saya iaitu Sritharan di atas apa yang berlaku begitu juga dengan ibu dan bapanya,” katanya pada sesi pertemuan dari hati ke hati antara pihak Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 1 (SKDD 1) dan keluarga mangsa, semalam.

Dalam kejadian pada waktu persekolahan petang Isnin lalu, murid tahun satu terbabit M. Sritharan dibaling selipar oleh gurunya hingga menyebabkan dia mengalami cedera ringan pada bahagian mata kiri.

Sementara itu bapa mangsa A. Murugan, 46, ketika ditemui berpuas hati dan memaafkan guru itu di atas apa yang berlaku.

“Saya menerima maaf cikgu Nur Adha dan saya berharap selepas ini anak saya dapat meneruskan pembelajaran selepas mendapat tiga hari cuti sakit oleh pihak hospital,” katanya.

Murugan berkata, dia juga akan menarik semula laporan polis yang telah dibuat mengenai insiden tersebut sebelum ini.

Pertemuan yang dipengerusikan oleh Setiausaha PKR Cabang Subang G. Manivanan itu dianggap selesai selepas kedua-dua pihak saling bermaafan antara satu sama lain.

Mengulas lanjut mengenai insiden yang berlaku, Yang Dipertua PIBG SKDD 1 Zakir Abdul Rahman ketika dihubungi memaklumkan supaya ibu bapa yang mempunyai sebarang kemuskilan atau masalah membabitkan anak mereka di sekolah boleh melaporkan kepada pihak PIBG untuk diselesaikan.

“Jangan buat aduan atau tindakan yang boleh mengeruhkan lagi suasana kerana dalam kes ini apa yang berlaku boleh diselesaikan dengan cara yang paling baik,” katanya. -SH

Komen pT

Tahniah pada guru dan ibu bapa kerana saling bermaafan dan menerima kemaafan. Sememangnya kerjaya guru pada masa kini amat mencabar bukan dari segi murid sahaja, malah persekitaran kehidupan yang banyak memberikan impak dalam emosi kehidupan. Walaupun latihan diberi waimah 3-5 tahun sekalipun, apabila tekanan dalam diri sampai ke kemuncak, apa saja boleh terjadi. Tahniah sekali lagi atas permaafan dan permuafakatan diantara mereka.