Sunday, 8 April 2012

JOM LUMBA!!! Siapa akan dapat PTPTN


SHAH ALAM - Dilihat sebagai antara modal politik penting menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 khususnya melibatkan kepentingan golongan muda, PKR dan Pemuda Umno menggunakan sepenuhnya isu Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN), dengan masing-masing akan mengadakan sesi perbincangan khas minggu ini.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, beliau akan mengetuai satu sesi runding cara berkenaan PTPTN di sini, Selasa ini.

"Saya akan ketuai runding cara PTPTN dan pembiayaan pendidikan tinggi," kata beliau menerusi akaun Twitter malam tadi.

Rafizi menghantar empat mesej Twitter khusus berkenaan dengan sesi runding cara menyentuh isu PTPTN.

Usaha menghubungi beliau untuk mendapatkan penjelasan lanjut masih belum berhasil.

Mesej makluman mengenai sesi runding cara itu dihantar beberapa jam selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menghadiri satu majlis di Batu Pahat, mengumumkan bahawa kerajaan perlu membelanjakan RM43 bilion jika PTPTN dimansuhkan.

Najib berkata, tindakan memansuhkan PTPTN itu akan hanya membebankan kerajaan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan tidak mahu membebankan rakyat dengan mengenakan cukai yang tinggi berikutan keputusan untuk menghapuskan PTPTN.

Dalam salah satu lagi mesej, Rafizi berkata, "soal PTPTN, kami akan terangkan secara angka dan mekanisme. Bukan macam Najib Razak sebut angka nak takutkan rakyat."

"Semua bankrap ikut dia," kata beliau lagi.

Malah kata beliau, runding cara PTPTN ini menemukan pimpinan muda dan wakil siswa dan orang muda bincang beberapa alternatif menyelesaikan kemelut PTPTN.

"Saya akan bentangkan pandangan mengenai PTPTN dan beberapa model pembiayaan baru untuk dibahas dan dibincang dengan pimpinan muda, siswa dan peserta," katanya lagi.

Dalam satu kenyataan media kelmarin, Pengerusi Biro Pengajian Tinggi Pemuda Umno, Shahrin Jamaludin berkata, pihaknya akan mengadakan persidangan meja bulat mahasiswa berkaitan isu beban hutang graduan dengan PTPTN.

Persidangan itu dijadual akan berlangsung di ibu negara pada Selasa dan Rabu ini.

Menurutnya, ia bertujuan membantu graduan mencari jalan menyelesaikan beban hutang yang dihadapi mereka.

Sementara itu, beberapa pertubuhan mahasiswa di bawah gabungan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) pula melancarkan demontrasi memansuhkan PTPTN di Dataran Merdeka Sabtu ini.

SMM dianggotai oleh 10 kumpulan gabungan mahasiswa - antaranya Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Gerakan Demokratik Mahasiswa & Belia (Dema), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dan Legasi Mahasiswa Progresif (LMP).

Perhimpunan itu merupakan salah satu agenda "Malaysia Bangkit" yang turut disertai oleh pemimpin LMP, Adam Adli - aktivis yang menurunkan bendera tertera wajah Najib Disember lalu.

SMM berpendapat rata-rata pemimjam terbeban oleh sistem pinjaman dan bayar balik yang digariskan oleh PTPTN. sH

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive