Rafizi nafi minta maaf kepada Zahid Hamidi

Laman media sosial Facebook yang didakwa membawa mesej meminta maaf tetapi ia dinafikan oleh Rafizi Ramli.

SHAH ALAM - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menafikan laporan beberapa media sosial mendakwa beliau telah memohon maaf kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini sambil menegaskan akaunnya digodam.

Sebaliknya, tegas Rafizi, seperti yang dikatakan dan dilaporkan media sebelum ini, beliau akan menghadapi saman fitnah dibawa oleh Zahid Jumaat lalu.

"Saya dimaklumkan bahawa laman-laman Facebook yang berkaitan dengan saya ada menyiarkan satu kenyataan maaf terhadap Datuk Seri Zahid Hamidi sekitar jam 7 petang ini.

"Sejurus selepas itu juga, laman-laman blog pro-Umno menyiarkan berita melaporkan kononnya kenyataan maaf tersebut.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang kenyataan maaf. Saya tetap dengan pendirian sebelum ini bahawa perkara ini akan diteruskan di mahkamah dan saya tidak akan berganjak dari terus membawa soal salah guna dana Angkatan Tentera Malaysia," kata beliau dalam satu kenyataan media lewat petang ini.

Rafizi berkata, "kenyataan tersebut adalah palsu, berniat jahat dan direncanakan oleh laman-laman blog pro-Umno bertujuan memfitnah saya dan mengelirukan rakyat."
Katanya, apabila mereka tidak dapat berdepan dengan pendedahan-pendedahan yang memalukan pimpinan mereka, laman-laman ini secara tidak beretika menggunakan muslihat untuk menggodam akaun dan laman-laman berkaitan Pakatan Rakyat, termasuklah laman-laman pimpinan Pakatan Rakyat dan laman Facebook.

"Laman Facebook saya adalah yang kedua dalam tempoh dua hari yang digodam, selepas laman Facebook Azmin Ali, Timbalan Presiden Keadilan (PKR)."
Rafizi berkata, beliau mengutuk sekeras-kerasnya muslihat dan tipu helah yang digunakan oleh 'cybertrooper' Umno ini kerana ia tidak beretika dan memfitnah.
"Saya sekali lagi menegaskan bahawa saman Datuk Seri Zahid Hamidi akan saya jawab di mahkamah," katanya lagi.

Semalam, Rafizi memberitahu Sinar Harian Online bahawa beliau sudah bersedia untuk menghadapi saman fitnah terbaru, yang difailkan oleh Zahid, seperti dua kes sebelum ini.
"Saya telah minta peguam saya... saya akan hadapi kes terbaru ini seperti kes-kes yang lain, yang dibawa ke atas saya," kata beliau.

"Saya hormati hak Datuk Zahid untuk menyaman saya. Dan tanggungjawab saya untuk mempertahankan diri saya di mahkamah dan saya juga tidak akan mengabaikan kepentingan awam," kata beliau lagi.

Laporan media kelmarin menyebut Zahid yang juga Naib Presiden Umno memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi berhubung satu artikel disiarkan dalam laman blog.
Zahid memfailkan writ saman tersebut menerusi Tetuan Majid Krishna Menon & Lee di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

Mengikut pernyataan tuntutan, Zahid mendakwa Rafizi menerbitkan artikel fitnah itu di laman blog miliknya iaitu RafiziRamli dotcom. Zahid mendakwa artikel itu adalah tidak benar, palsu dan ditulis dengan niat jahat bagi memberi gambaran negatif berkenaan diri dan pekerjaannya untuk dibaca orang awam.

Katanya, Rafizi mengetahui kesan langsung penerbitan artikel tersebut yang membolehkan ia diterbit semula oleh pihak media termasuk media di laman
Internet.

Zahid menuntut ganti rugi am dan khas, ganti rugi teladan, penarikan penuh segala kata-kata fitnah serta meminta maaf dalam format yang diberikan beliau dan diiklankan dalam empat surat khabar tempatan, empat bahasa selama dua hari.

Beliau juga menuntut perintah supaya defendan mengeluarkan artikel tersebut daripada blog miliknya, perintah larangan daripada mengulangi atau menerbitkan semula termasuk di ceramah, perhimpunan dan kempen pilihan raya.

Turut dituntut ialah faedah empat peratus ke atas jumlah ganti rugi, kos dan relif lain.
Rafizi dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin kini berhadapan dengan kes saman fitnah dibawa Ketua Wanita Umno dan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berikutan skandal NFC.

Rafizi juga menghadapi tuduhan melanggar Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan selepas beliau mendedahkan butir-butir perbankan sulit fidlot National Feedlot Corporation (NFCorp), firma yang menjalankan projek NFC
.
- Sumber :