Mahathir: ‘Saya tak dendam dengan sesiapa’
PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak berdendam dengan sesiapa, termasuk bekas Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu.

Dalam respons segera terhadap pendedahan dalam temu bual bekas pemimpin MIC itu yang tersiar dalam akhbar New Sunday Times semalam, Dr Mahathir berkata beliau "amat sedih" apabila Samy Vellu terus-menerus mengenepikan pemimpin berkebolehan seperti bekas presiden MIC Datuk S. Subramaniam dan mendiang Tan Sri M.G Pandithan yang memiliki "potensi untuk menjadi penggantinya (Samy Vellu)."
Dr Mahathir juga menyangkal dakwaan bahawa beliau mempunyai peranan dalam kekalahan mengejut Samy Vellu bagi kerusi parlimen Sungai Siput pada pilihan raya umum 2008.

"Pada 2008, bukan Samy saja yang kalah, tapi ramai orang (lain lagi) kalah (pada pilihan raya itu)," katanya sambil menambah bahawa "ia bukan kerana saya, tapi menyebut kepimpinan pengganti beliau Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebagai penyebab prestasi teruk Barisan Nasional pada pilihan raya umum itu.

"Saya tidak memberitahu orang Sungai Siput supaya jangan mengundi Samy, tapi kritikan saya terhadap kepimpinan Pak Lah (Abdullah) memberi kesan terhadap pemikiran pemilih dan sebab itulah mereka tidak menyokong Barisan Nasional dan ini sudah tentulah termasuk Samy juga.

"Itulah keadaan sebenarnya. Bukan soal dendam. Ia adalah persoalan berkaitan kekuatan BN serta parti komponennya," kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Samy Vellu mendakwa Dr Mahathir menyimpan dendam terhadapnya kerana hanya beliau (Samy Vellu) yang mengundi membantah penyertaan Barisan Progresif India (IPF) dalam BN.

Dr Mahathir menjelaskan bahawa cadangan membawa masuk mendiang Pandithan dan IPF ke dalam BN bertujuan menguatkan sokongan masyarakat India terhadap BN, tetapi Samy Vellu menentangnya.

"Kami perlu mendapatkan persetujuan penuh dalam BN sebelum kami boleh menerima mana-mana parti baru. Oleh itu, tidak banyak yang boleh saya lakukan mengenainya. Akibatnya, saya rasa, MIC menjadi semakin lemah," katanya.

"Setiap kali beliau (Samy Vellu) melihat seseorang yang mempunyai potensi, beliau memastikan mereka diketepikan. Apabila pemimpin itu disingkirkan, bukan orang itu saja yang akan keluar, tapi dia juga membawa keluar penyokongnya sekali dan akibatnya, MIC mengecut," kata beliau.
Mengenai kedudukan MIC hari ini, Dr Mahathir berkata parti itu jauh lebih kuat apabila Samy Vellu menyerahkan jawatan presiden kepada penggantinya Datuk Seri G. Palanivel, selepas 31 tahun.

"Ramai yang datang semula. Sesetengah daripada mereka yang tidak gembira dengan Samy, kini masuk semula. Saya harap MIC akan mendapatkan semula kekuatannya pada pilihan raya umum akan datang," kata Dr Mahathir. – Bernama