Monday, 9 April 2012

Cara2 nak kritik Harimau Malaya tanpa dimurkai FAM

FAM telah menjatuhkan hukuman kepada Anuar Musa, orang kuat pasukan bolasepak Kelantan yang ramai sangkakan bintangnya nampak cerah dalam bidang sukan berbanding politik. Anuar Musa bukan orang pertama yang terkena sumpahan daulat FAM walaupun dia merupakan salah seorang pemimpin yang boleh diharapkan jika mahu melihat bolasepak negara kita meningkat semula. 

Sebelum Anuar Musa, Raja Ahmad Zainuddin telah disumpah selama 3 tahun dan Ahmad Basri juga telah disumpah selama 4 tahun dan kemudiannya disumpah lagi selama satu tahun kerana kes mengkritik FAM juga. 

Untuk memastikan tidak ada lagi mangsa ke empat disumpah selepas Anuar Musa berikut saya perturunkan cara untuk mengkritik pasukan bolasepak negara dan juga FAM tanpa dimurkai:

Untuk membolehkan anda mengulas apa saja tentang FAM juga tentang pasukan bolasepak negara anda perlu menggulingkan Presiden FAM yang ada sekarang dan merampas jawatan tersebut. Ini melayakkan anda secara automatik dan bersesuaian dengan perlembagaan FAM untuk mengulas apa saja tanpa dikenakan tindakan.

Jika anda tak dapat jadi Presiden, tak apa masih ada peluang lagi dengan merebut jawatan Setiausaha agong. Ini membuatkan anda layak untuk menyuarakan apa saja pandangan terhadap bolasepak negara, pasukan negara dan juga FAM.

Jika jawatan tersebut gagal diperolehi di sebabkan cengkaman yang amat kuat hasil daripada bantuan kuasa kayangan serta kerabat-kerabat diraja atas angin yang mengukuhkan jawatan itu pada mereka yang ada sekarang, anda masih boleh lagi mengkritik tetapi dengan syarat lansung tidak memegang apa-apa jawatan dalam dunia bolasepak negara walaupun sekadar pengurus pasukan 7 sebelah Kampung Panchor atau Kemumin.

Anda juga boleh mengkritik dengan pedas dan beracun pada pasukan negara, FAM dan juga kepimpinan FAM dengan menjadi blogger samaran asalkan anda jangan sampai menjatuhkan martabat status darah raja-raja serta menghina keturunan bangsawan elit negara kita sudahlah.

Saranan ini adalah cubaan - Berkemungkinan anda tidak akan dikenakan sebarang tindakan walaupun mengkritik dengan pedas dan tidak betul sama sekali jika anda memegang jawatan dalam pasukan bolasepak negeri yang paling tercorot dan pastikan pasukan itu sentiasa tercorot selama-lamanya.

 Ini kerana semua mereka yang hebat dan berjaya menjulang pasukan negeri masing-masing telah dikenakan tindakan tatatertib oleh FAM. Walau bagaimanapun adalah lebih elok untuk semua orang hanya memuji sahaja FAM serta mereka yang berada di dalamnya sejak berpuluh-puluh tahun lalu agar pencapaian industri bolasepak negara kita tetap kekal ditangga tercorot selama-lamanya.

Walaupun pasukan negara kita telah ketinggalan zaman bukankah para pimpinan FAM yang ada juga telah berjaya menjadikan industri bolasepak negara kita mencapai tahap profesional.
Dengan lahirnya para pemain profesional, negara kita telah berjaya mengembangkan industri pertaruhan dalam bolasepak dan melahirkan ramai bookie, pengatur mainan serta agen rasuah yang licik. 

Keuntungan adalah lebih menarik daripada mengharumkan nama negara. Oleh itu pujian perlu diberikan kepada mereka. Puji jangan tak puji!!! - Blog Shubhi

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive