Sunday 21 April 2013

#PRU13 : Che Johan Mungkin Digantung Keahlian UMNO ??? #undiBN #BetterNation

KOTA BHARU: Calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Pasir Mas, Che Johan Che Pa dipanggil oleh Umno Kelantan hari ini bagi memberikan penjelasan mengenai keputusan mengejut beliau yang menarik diri pada saat akhir daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Pengerusi Badan Perhubungan Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamad berkata, pihaknya telah mengadakan mesyuarat bersama biro politik parti pada pagi Ahad berhubung perkara itu.

"Pagi tadi, kita sudah panggil beliau (Che Johan) untuk mendapatkan penjelasan. Dan saya akan adakan perbincangan lanjut dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak nanti.

"Apapun, biro politik memandang serius mengenai perkara ini dan akan membuat keputusan beliau yang membelakangkan keputusan parti (mencalonkan beliau)," katanya pada sidang media di sini, Ahad.

Beliau berkata demikian mengenai tindakan Che Johan pada saat akhir yang membuat keputusan untuk tidak menyerahkan borang pencalonan semasa proses penamaan calon pada Sabtu.

Berita mengejut itu menyebabkan Parlimen Pasir Mas pada PRU-13 akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara penyandang kerusi itu, Datuk Ibrahim Ali sebagai calon bebas dan calon baru dari PAS yang merupakan anak kepada Mursyidul Am parti itu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Nik Abduh.

Mustapa berkata, beliau melihat isu tersebut sebagai satu masalah disiplin yang serius kerana watikah pencalonan telah pun diberikan kepada Che Johan.

"Tindakan (Che Johan) berpandukan pada perlembagaan parti tetapi ia akan diputuskan oleh Lembaga Disiplin (Umno)," katanya.

Menurut Mustapa, parti itu sedang meneliti impaknya dan sudah tentu akan memastikan kemenangan bagi mereka yang dicalonkan.

"Mengenai parlimen (Pasir Mas), kita akan pantau impaknya tetapi kita akan pastikan DUN (Dewan Undangan Negeri) di Parlimen itu untuk menang," katanya.

Ditanya mengenai penjelasan Che Johan, Mustapa hanya berkata: "Penjelasan dia sama sahaja yang sudah pun dilaporkan di media-media. Jawapannya konsisten."

Media pada Ahad melaporkan bahawa keputusan Che Johan itu kerana beliau mahu memastikan PAS tewas di kerusi parlimen tersebut dan membantu BN untuk memperoleh kemenangan pada PRU-13.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive