Thursday 14 February 2013

PENIAGA PASAR MALAM DINAFIKAN HAK OLEH MPKB ???

KOTA BHARU - Peniaga di pasar malam Parit Dalam, di sini, kecewa terhadap isu perpindahan mereka ke tapak baru yang tidak dapat diselesaikan sehingga kini oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) walaupun notis sudah dikeluarkan sejak 2009.

Penasihat Persatuan Peniaga-peniaga Bumiputera Pasar Malam Parit Dalam, Nik Rashid Nik Ismail berkata, mereka sudah muak dengan isu yang membelenggu peniaga di situ dan lebih kesal lagi apabila usaha peniaga untuk berbincang dengan pihak berkenaan termasuk exco kerajaan negeri, gagal disuarakan.

Menurutnya, peniaga di kawasan itu kini boleh dianggap sebagai berniaga secara haram dan lesen perniagaan hanya dapat diperbaharui semula sekiranya mereka berpindah ke lokasi baru iaitu berhampiran Pasar raya Tesco di Lembah Sireh.

“Kawasan ini adalah lokasi pelancong dan tanpa pasar malam di sini, suasana di bandar akan mati. Jadi peniaga ingin meneruskan perniagaan di sini untuk mendapatkan pelanggan kerana kawasan ini amat sesuai.

“Disebabkan keengganan peniaga untuk berpindah, mereka tidak dapat memperbaharui lesen perniagaan sekali gus menyukarkan urusan mendapatkan pinjaman terutama daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun),” katanya.

Beliau berkata, MPKB mengambil langkah untuk memindahkan mereka bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang berlaku di pusat bandar setelah perubahan sistem jalan sehala dikuatkuasakan.

Seorang peniaga yang juga presiden persatuan terbabit, Shamsudin Zakaria, 53, berkata, mereka tidak mahu bersikap emosi dalam menyelesaikan masalah itu, sebaliknya mahu MPKB menerima baik usaha mereka untuk mengadakan perbincangan.

“Kita mahu selesai cara baik tetapi tidak dilayan pihak berkenaan. Kita tidak mahu menimbulkan kekecohan dan sekiranya masih tiada respons kita bimbang peniaga akan memberontak,” katanya.

Bagi peniaga, Raihan Hamzah, 43, walaupun lesen tidak dapat diperbaharui, namun mereka masih perlu membayar cukai bakul sebanyak RM5 kepada MPKB setiap malam.

“Disebabkan itu juga, ramai peniaga dari luar mengambil kesempatan berniaga di sini kerana kami sendiri berniaga tanpa lesen,” katanya. - Sinar


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive