Showing posts with label hukum hudud. Show all posts
Showing posts with label hukum hudud. Show all posts

Saturday, 10 May 2014

Harith Iskander Akui Kebodohan Dirinya Kerana Persenda Hudud!!!

Pelakon dan pelawak Harith Iskander memohon maaf apabila status yang dimuat naik di Twitter miliknya mengenai hukum Hudud bertujuan untuk berjenaka mendapat kritikan ramai.

Jelasnya, dia tidak berniat mahu mempertikaikan peraturan dalam agama Islam itu tetapi ia telah disalah ertikan oleh segelintir pihak.

"Saya ingin memohon maaf sekiranya status di Twitter itu mengundang rasa tidak senang hati mana-mana pihak. "Jujurnya saya tidak berniat mahu mempermainkan agama sendiri. Kalau boleh saya tidak ingin membesarkan isu ini kerana ia hanya perkara kecil yang telah disalah ertikan.

"Mungkin ada pihak yang mempunyai masa mahu membesarkan sesuatu (isu Hudud) itu," katanya seperti yang dilaporkan sebuah portal. Pada Khamis lalu, Harith dalam satu status Twitter miliknya telah berjenaka mengenai hukum Hudud.

Hal tersebut secara tidak langsung menyebabkan beberapa pengikut laman Twitter itu menegurnya kerana perbuatan itu dilihat seperti mempersendakan agama Islam.

Hudud merupakan satu bentuk hukuman terhadap umat Islam yang melanggar tuntutan agama dan ia ditetapkan Allah sebagaimana tertulis dalam Al-Quran dan hadis.

Harith berkata, perkara itu juga membuatkan ada beberapa peminatnya bertindak tidak mengikut akaun Twitter miliknya lagi.

"Dalam dunia media sosial ini kita diberi pilihan. Ada beberapa follower saya yang mengumumkan mereka nak unfollow dan saya hormat keputusan itu sebab ia pilihan mereka.

"Bagi saya kalau ada seseorang yang bercakap sesuatu yang saya tak suka, saya juga akan melakukan perkara sama (unfollow)," ujarnya. - Sumber

Thursday, 8 May 2014

Hudud!!! Renungan Dari Pelbagai Sudut

Kerapkali orang menyangka bahawa mereka boleh “melaksanakan hukum Allah” (menggunakan ungkapan mereka) hanya dengan semangat yang berkobar, tangan yang digenggam dan pekikan takbir yang memekak.

Mereka menyangka, tidak kira apa persediaan yang dibuat, bagaimana ia dilakukan, ia semestinya akan berjalan dengan baik, menjamin keadilan dan berjaya semata-mata kerana mereka “melaksanakan hukum Allah” atau mereka tidak fikir langsung mengenainya. Mereka lupa bahawa Sunnah Allah berlaku di mana-mana.

Tentera Islam yang diketuai oleh Rasul Allah sendiri pun pernah kalah dalam perang Uhud bukan kerana tujuan mereka tidak baik, bukan kerana iman mereka berkurangan, tetapi kerana pasukan pemanah tidak mematuhi arahan, meninggal posisi mereka untuk merebut harta rampasan yang membolehkan Khalid Ibn Walid dan pasukannya memusing dan menyerang dari arah yang berlainan.

Dalam melaksanakan undang-undang pun serupa. Tidak kira undang-undang apa yang hendak dilaksanakan, jika ia tidak dilaksanakan dengan betul, cekap dan jujur, ia boleh membawa kepada ketidakadilan. Itu Sunnah Allah, dari apa yang saya faham.

Pelaksanaan sesuatu undang-undang bukanlah tamat dengan penguatkuasaannya. Lebih penting ialah bagaimana pelaksanaan itu berjalan, apa kesan dan akibatnya, adakah ia membawa kepada keadaan masyarakat yang lebih aman dan tenteram dan adakah ia meningkatkan tahap keadilan di sesebuah negara itu?

Kejayaan pelaksanaan hukuman hudud bukanlah terletak kepada berapa banyak kepala dipancung, berapa orang direjam dan berapa banyak tangan dipotong. Dari apa yang kita baca mengenai apa yang berlaku di Pakistan, Nigeria dan Sudan, nampaknya pelaksanaan undang-undang itu masih belum boleh dikatakan berjalan dengan licin dan meningkatkan keadilan.

Kita baca mengenai ketidak adilan kepada wanita-wanita mangsa rogol yang berakhir dengan dihukum kerana kesalahan zina, sebab mereka tidak dapat mengemukakan saksi-saksi secukupnya dan mereka mengandung.

Di Pakistan, tuduhan ini ditolak oleh Taqi Usmani, bekas Hakim Mahkamah Syari’ah Persekutuan Pakistan dan Hakim Mahkamah Agung Pakistan (Bahagian Rayuan Syari’ah) sambil mengatakan bahawa, semasa beliau menjadi Hakim, beliau tidak pernah menemui satu kes pun di mana seorang perempuan yang melaporkan dia dirogol berahkir dengan dihukum kerana berzinai.

Kita terima kenyataannya, tetapi bagaimana dengan kes-kes yang tidak pergi kepadanya, terutama sekali di kawasan pedalaman? Kita tidak tahu hakikat yang sebenar. Apa yang kita pasti ialah, setelah “berlaku tunjuk perasaan setiap hari” kesalahan rogol dikeluarkan daripada Hudud Ordinance dan masukkan semula ke dalam Penal Code dan dibicarakan oleh Mahkamah Sivil semula sehinggalah sekarang.

Di sini saya memetik kata-kata Dr. Anwarul Haq, seorang rakyat Pakistan yang berkhidmat dengan Kerajaan Brunei selama kira-kira tiga puluh tahun, antara lain, untuk menggubal Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syari’ah 2013 yang kita sedang bincangkan ini.

Soalan: Mengapa “berlaku tunjuk perasaan setiap hari” dan mengapa kesalahan rogol sahaja yang dikeluarkan daripada Hudud Ordinance dan dimasukkan semula ke dalam Penal Code?

Semesatinya tunjuk perasaan itu berkaitan dengan kesalahan rogol. Mengapa? Mengenai Nigeria, saya bertanya Hakim Ibrahim Bukar, Ketua Hakim Mahkamah Tinggi, Wilayah Persekutuan, Abuja, Nigeria mengenai pegalaman Nigeria.

Dalam jawapannya kepada saya melalui email pada 10 Disember 2013, beliau berkata dan saya petik sepenuhnya dengan terjemahan saya sendiri:

“Memang betul sistem perundangan syariah telah diperkenalkan di lebih kurang 10 buah negeri di bahagian utara Nigeria. Sebagaimana yang tuan sedia maklum Nigeria adalah sebuah Persekutuan yang terdiri daripada 36 buah negeri dan sebuah Wilayah Persekutuan.

Sistem itu telah diperkenalkan di negeri-negeri itu secara tergesa-gesa dan lebih kerana keuntungan politik daripada pentingannya dan keperluannya. Tambahan lagi, idea itu timbul di negeri-negeri itu dan diperkenalkan tanpa rundingan dan pandangan Kerajaan Persekutuan.

Di Nigeria, Jabatan Polis, Jabatan Penjara dan undang-undang keterangan terletak di bawah senarai bidangkuasa eksklusif Kerajaan Persekutuan. Tanpa “peralatan” itu, keadilan jenayah tidak boleh ditadbirkan dengan berkesan.Keadaan ini telah memberi kesan kepada innovasi itu.

Kedua, kegagalan kerajaan untuk melakukan orientasi kepada anggota masyarakat yang terlibat dan membolehkan masyarakat bukan Islam di kawasan itu menghargai (appreciate) bahawa sistem itu hanya terpakai kepada orang Islam sahaja menyebabkan sistem itu ditentang.

Kebanyakan pengamal undang-undang tidak mahir dalam syariah. Ini juga adalah satu faktor yang menghalang kejayaan pelaksanaannya.

Kesimpulannya, pengenalan keadilan jenyah syariah, disebabkan oleh faktor-faktor ini dan lain-lain, tidaklah boleh dikatakan satu usaha yang berjaya.

Malah, di kebelakangan ini, kita tidak langsung mendengar hukuman hudud dikenakan. Kebanyakan, jika tidak semua, hukuman yang telah dijatuhkan telah dibuat rayuan. Dalam keadaan itu, jawapan saya kepada soalan tuan ialah pelaksanaan hudud tidak atau masih belum diterima sepenuhnya.”

Lebih kurang sepuluh tahun dahulu, di satu persidangan di IKIM, Prof. Dr. Ibraheem Sulaiman daripada Centre of Islamic Studies, Ahmadu Bello University, Nigeria, antra lain, mengatakan bahawa pelaksanaan Syari’ah di Nigeria berlaku dengan cara mengejut dan tergesa-gesa.

Dalam satu rencana bertajuk “Enforcement of Hudood Punishments under Islamic Law in Nigeria: Implications for a Plural Legal System” yang ditulis oleh Aminu Adamu Bello dari Faculty of Law, University of Abuja, Nigeria, penulis itu merumuskan bahawa “..... data tidak menyokong kenyataan bahawa pelaksanaan hukuman hudud mempunyai apa-apa kesan ke atas kelakuan anti-sosial, terutama sekali rompakan bersenjata (hibara) di negeri-negeri itu.” (Terjemahan saya”). xxviii

Mengikut rencana itu, “Setakat ini terdapat tidak kurang daripada 23 orang yang sedang menunggu hukuman potong tangan dan rejam di Negeri Bauchi sahaja. Banyak daripada mereka telah berada dalam penjara lebih kurang tujuh tahun tanpa pegesahan (“ratification”) atau sebaliknya terhadap hukuman mereka oleh kerajaan negeri.”(Terjemahan saya) xxix

Mengapa kerajaan negeri tidak mengesahkan hukuman-hukuman itu?

Jawapannya, “......Gabenor-Gabenor itu mengatakan bahawa mereka tidak dapat mengesahkan hukuman-hukuman itu kerana hakim-hakim Mahkamah Syari’ah telah menjatuhkan hukuman-hukuman itu dengan tergsa-tergesa tanpa mamatuhi proses perundangan.’” (Terjemahan saya).xxx

Malah, penulis rencana itu mencadangkan supaya pelaksanaan hukuman hudud dI negeri-negeri berkenaan di gantungkan.

Bagaimana dengan Sudan? Saya cuba mendapat, termasuk melalui rakan-rakan akademik, orang-orang yang mempunyai maklumat terus mengenai keadaan di Sudan untuk mejelaskan kepada kita keadaan sebenar di Sudan tetapi tidak berjaya.

Saya tidak tahu mengapa. Apa yang kita baca dan lihat di internet amatlah membimbangkan. Tetapi, untuk berlaku adil, kita tidak tahu hal yang sebenar. Maka saya hanya akan memetik dua kenyatan ini.

Pertama, saya pernah membaca satu rencana (memanglah saya tidak dapat mencarinya sekarang) yang mangatakan bahawa, atas sebab-sebab politik, suatu malam, Presiden Jaafar Nameiri muncul di talivesyen dan mengisytiharkan bahawa mulai jam 12.00 malam itu Syari’ah akan dilaksanakan sepenuhnya di Sudan.

Esoknya semua aktiviti terhenti. Polis tidak tahu yang hendak dibuat, Pendakwa tidak tahu apa yang hendak dibuat, Peguam tidak tahu apa yang hendak dibuat dan mahkamah juga tidak tahu apa yang hendak dibuat. Peguam-Peguam berlari ke kedai-kedai buku mencari apa-apa buku yang ada mengenai Syari’ah.

Kedua, kita juga membaca bahawa, dalam bulan Mac 2013, Timbalan Hakim Besar Sudan, Abdul Rahman Sharfi membuat satu pengumuman bahawa jika doktor-doktor enggan memotong tangan penjenayah yang disabitkan oleh mahkamah, kerajaan akan melatih Hakim-Hakim untuk melakukannya sendiri!

Malah beliau juga mencadangkan supaya doktor-doktor yang enggan melaksanakan hukuman itu didakwa. Saya tidak akan berhujah mengenai kewajiban melaksanakan hukuman-hukuman itu kerana saya bukan seorang ulamak.

Tetapi, saya ingin menarik perhatian kepada dua perkara. Pertama, kita tahu bahawa, Umar Ibn Khattab, Khalifah Islam yang kedua, penah tidak melaksanakan hukuman hudud bagi kesalahan mencuri di musim kelaparan.

Soalan: Adakah pendekatan seperti itu hanya diberi khusus kepada Umar Ibn Khattab dan terpakai di musim kelaparan sahaja?

Kedua, matlamat undang-undang jenayah bukanlah untuk mengenakan hukuman termasuklah sesuatu jenis hukuman tertentu. Matlamat undang-undang jenayah adalah untuk mewujudkan ketenteraman awam dan melaksanakan keadilan jika berlaku pelanggaran terhadapnya.

Hukuman adalah alat untuk mencapai matlamat tersebut. Alat bukannya matlamat. Maka, bagaimana alat itu digunakan perlu diambil kira. Hasilnya akan menjadi pengukur kejayaannya atau sebaliknya.

Mungkin orang akan berhujah bahawa prinsip ini tidak terpakai kepada hukuman hudud sebab ia adalah hak Allah. Jika demikian, soalan saya ialah: Bagaimana kita hendak “justify” tindakan Umar Ibn Khattab yang saya sebutkan itu?

Kita belum boleh membuat penilaian mengenai pelaksanaan undang-undang itu di Brunei kerana ia belum dilaksanakan. Mungkin dalam tempoh tiga atau lima tahun lagi kita boleh melihat bagaimana pelaksanaannya sebenarnya berlaku dan kesannya.

Adakah ia meningkatkan tahap pencapaian keadilan? Adakah ia mengurangkan kadar jenayah seperti yang diharapkan? Adakah Negara Brunei Darussalam, yang sudah pun aman tenteram itu, akan menjadi lebih aman dan tenteram?

Setakat ini negara-negara yang melaksanakan hukuman hudud, seperti Pakistan, Nigeria dan Sudan nampaknya masih jauh di belakang berbanding dengan negara-negara yang tidak melaksanakan hukuman hadd seperti Sweden, Norway, Iceland, Denmark dan Jepun dalam hal ini. Mungkin ada factor-faktor lain.

Kita tidak boleh menjadikan apa yang kita lihat di Makkah dan Madinah sebagai ukuran. Orang-orang yang pergi ke sana adalah orang-orang yang hendak mengerjakan ibadat haji, kebanyakannya mungkin hanya sekali seumur hidup, membawa wang yang cukup yang mungkin disimpan seumur hidup, berhasrat mendapat haji yang mabrur dan kebanyakannya sudah lanjut usia dan sudah bertaubat.

Semestinyalah mereka tidak akan melakukan kesalahan-kesalahan jenayah. Sebaliknya, tidakkah peraturan bahawa perempuan mesti diiringi oleh mahramnya (lelaki) dan hakikat bahawa hingga ke hari ini perempuan di Saudi Arabia tidak dibenarkan memandu kereta mempunyai kaitannya dengan keselamatan diri mereka?

Mungkin Brunei akan membuktikan sesuatu kelak. Kita tunggu dan lihat. Sekurang-kurangnya di Brunei ada satu perbezaan. Di Brunei pelaksanaannya bukanlah kerana survival politik atau untuk memenangi pilihanraya yang terdekat. Kerja-kerja ke arahnya telah berjalan kira-kira tiga puluh tahun dan masih belum selesai.

Di Malaysia? Saya telah meletakkan faktanya di hadapan tuan-tuan dan puan-puan. Tuan-tuan dan puan-puan fikirlah sendiri dan buatlah keputusan sendiri. Terima kasih.

Catitan : Tulisan diatas merupakan petikan bahagian 'penutup' WACANA INTELEKTUAL MPM-YADIM 7 January 2014 PELAKSANAAN HUDUD DI BRUNEI: PERBEZAAN DI ANTARA BRUNEI DAN MALAYSIA Oleh Tun Abdul Hamid Mohamad (Mantan Ketua Hakim Negara Malaysia)

Thursday, 13 September 2012

HUDUD - KARPAL TETAP PERJUANG KESEORANGAN UNTUK HALANG ???


KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP, Karpal Singh berjuang berseorangan untuk menghalang PAS daripada melaksanakan hukum hudud.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, selain Karpal, tiada mana-mana ahli dalam parti itu yang bersuara lantang menentang undang-undang itu.

Dr Chua berkata, Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu pernah berkata parti itu akan mencadangkan agar Perlembagaan Persekutuan digubal bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan selepas pembangkang berjaya membentuk kerajaan.

“Dia berkata semua Ahli Parlimen beragama Islam akan komited melakukan perkara ini. Terdapat kira-kira 150 Ahli Parlimen beragama Islam, di mana lebih dua pertiga daripada jumlah wakil di Dewan Rakyat.

“Jadi, DAP perlu melakukan sesuatu untuk menyakinkan kita bahawa hudud tidak boleh dilaksanakan sekiranya pembangkang menang,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden MCA di Wisma MCA di sini, Selasa.

Dalam perkembangan lain, Dr Chua mendakwa pembangkang mempengaruhi golongan muda untuk mengadakan demonstrasi menentang kerajaan.

“Oleh kerana pembangkang berjaya menghasut kebencian terhadap pemimpin Barisan Nasional, kebanyakan mereka yang menghadiri majlis politik tidak mahu berjabat tangan dengan kami,” katanya. – mStar Online

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive