Tuesday, 25 December 2012

MALAYSIA NEGARA YANG SANGAT BERTUAH !!!



Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mempunyai pengalaman melalui kehidupan sejak awal abad ke-19 apabila negara ini dikenali sebagai Malaya, menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang bertuah dalam banyak aspek.

Beliau, yang turut menerajui negara ini selama 22 tahun iaitu pada akhir abad ke-19 hingga awal abad ke-20, mengakui telah melihat banyak transformasi yang menakjubkan dan pencapaian yang cemerlang di negara ini.

Daripada pemerintahan British hingga negara mencapai kemerdekaan dan dari sebuah ekonomi pertanian kepada kepelbagaian teknologi tinggi, Malaysia melalui satu perubahan yang begitu lancar dari segi sosial, politik dan ekonomi.

Malaysia adalah sebuah negara yang aman damai sejak sekian lama. Hanya mengalami tempoh gangguan dalam ketenteraman semasa pendudukan tentera Jepun semasa Perang Dunia 11 dan kejadian 13 Mei, 1969.

Ini antara ucapan mengenai keamanan di Malaysia oleh Dr Mahathir di hadapan ahli Parlimen pada satu jamuan malam di sini baru-baru ini.

Selari
Dr Mahathir berkata, walaupun 'tuah' itu bukan perkara baru untuk diperkatakan namun ia harus sentiasa diperdengarkan agar 28 juta rakyat Malaysia khususnya generasi muda terus mempunyai alasan kukuh untuk sentiasa berbangga dan bersyukur betapa beruntungnya berpijak dan membina kehidupan di Bumi Malaysia.

Paling jelas adalah aspek peningkatan ekonomi yang menjadikan Malaysia dan rakyatnya kini hidup dalam zon selesa dan setanding dengan negara maju yang lain.

"Saya selalu buat bandingan di antara masa saya dan masa sekarang. Masa British dulu, 70 peratus rakyat Malaysia berada di bawah paras kemiskinan," katanya.

Namun kini keadaan jauh berbeza dan ia dijadikan satu ukuran yang jelas kepada rakyat untuk memahami sejauh mana kemajuan yang telah dicapai sejak Malaysia merdeka selama 55 tahun.

Beliau berkata kemajuan ekonomi Malaysia begitu menakjubkan terutama jika dibuat perbandingan dengan negara yang mencapai kemerdekaan hampir seusia Malaysia, contohnya, Uganda di Afrika.

"Uganda pernah dianggap oleh British sebagai lebih maju berbanding Malaysia, namun apabila saya berada di sana (Uganda), pemimpinnya bertanya, bagaimana Uganda sekarang ini ketinggalan sejauh 50 tahun berbanding kemajuan di Malaysia," katanya.

Banyak negara Eropah seperti Greece, Portugal dan Itali, yang terkenal sebagai pemegang ekonomi dunia, kini turut menghadapi krisis ekonomi.

Negara kuasa besar dunia, Amerika Syarikat, juga terpaksa melalui kemelesetan ekonomi dengan kadar pengangguran yang tinggi.

Malaysia terus maju
Jelasnya, meskipun Malaysia memiliki tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India serta 29 suku kaum Sabah dan Sarawak, yang mempunyai anutan agama, mazhab dan ideologi politik yang berbeza rakyatnya dapat hidup harmoni tanpa sebarang rusuhan yang memudaratkan.

Dr Mahathir berkata keadaan yang bertentangan pula berlaku di kebanyakan negara yang berbilang kaum dan puak seperti di Pakistan, Iraq dan Afghanistan, yang mana berlaku rusuhan antara kaum dan antara puak yang mempunyai fahaman dan mazhab yang berlainan seperti Sunil dan Syiah.

"Di sebelah Timur Tengah juga kita dapati negara Arab berada dalam keadaan kucar-kacir, sudah ada pemberontakan untuk menjatuhkan kerajaan Libya, Mesir bahkan usaha juga sedang dibuat untuk menjatuhkan Syria dan Bahrain.

"Bahkan di negara Asean seperti Thailand dan Filipina juga menyaksikan berlakunya tunjuk perasaan dan rusuhan di jalanan," katanya.

Kedudukan geografi
Dr Mahathir berkata bertuahnya rakyat di Malaysia bukan sahaja kerana ekonomi dan penyatuan keharmonian rakyatnya malahan bumi indah ini berada dalam kedudukan geografi yang semulajadinya bebas daripada bencana alam seperti tsunami, gempa bumi, ribut taufan dan letusan gunung berapi.

"Kita juga harus bersyukur di sebelah timur kita terdapat angin yang cukup kencang tetapi kita dilindungi oleh Filipina, di sebelah barat ada Tsunami tetapi Sumatera menjadi tembok melindungi Malaysia," katanya.

Bahkan Malaysia boleh mendirikan menara ketiga tertinggi di dunia iaitu menara KLCC dengan kos hanya RM3 bilion berbanding negara lain yang terpaksa membayar tiga kali ganda untuk mendirikan menara seumpama itu kerana mempunyai ancaman bencana gempa bumi.

Justeru Dr Mahathir berkata di atas segala faktor itu, rakyat Malaysia diharap mengekalkan kesinambungan keharmonian negara dengan hidup secara rukun dan bersatu padu dan sentiasa berusaha menyelesaikan segala permasalahan yang timbul dengan cara rundingan dan persaingan yang tertib.

Beliau yang meluahkan kegembiraan menyaksikan pencapaian Malaysia kini turut optimis sekiranya keharmonian dan kemajuan negara yang dikecapi dikekalkan, Malaysia akan terus berkembang pesat sehingga mencapai matlamat wawasan 2020 dan bahkan untuk seterusnya.-Bernamamalaysia

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive