Friday, 7 June 2013

TERKINI!!! Mangsa Runtuhan Jambatan Maut Di Dalam Kereta Di Kenal Pasti


GeorgeTown, 7 Jun - Polis hari ini mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki berusia lingkungan 40-an di dalam timbunan runtuhan tanjakan konkrit susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata pasukan penyelamat menemui mayat lelaki itu dalam keadaan tunduk di tempat duduk pemandu tanpa penumpang lain.

Polis mengenal pasti pemilik kereta jenis Perodua Kelisa yang terperangkap di dalam runtuhan akibat dihempap oleh tanjakan konkrit susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di Batu Maung di sini sebagai Rohaizad Md Sofar.

Jurucakap polis berkata bagaimanapun polis tidak dapat mengesahkan sama ada Rohaizad, 43, yang beralamat di Sungai Dua, Gelugor di sini, adalah mangsa yang masih tersepit di dalam kenderaan itu.

"Kita meminta kerjasama semua pihak yang mengenali pemilik kenderaan itu untuk membantu siasatan bagi mengenal pasti mangsa," katanya.

Mangsa bagaimanapun belum dapat dikeluarkan lagi dari kereta itu dan kerja mengalih sisa tanjakan konkrit yang telah dipotong itu sedang giat dijalankan.


"Adik mangsa dalam perjalanan ke sini untuk membuat pengecaman sama ada mayat itu adalah abangnya. Kita ada menerima laporan berhubung kehilangan anggota keluarga daripada seorang individu di Batu Maung," katanya pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata setakat ini hanya satu mayat ditemui di dalam timbunan runtuhan konkrit itu dan percaya tiada mangsa lain terlibat dalam kejadian berkenaan.

"Usaha untuk mengeluarkan mayat yang tersepit sedang dijalankan. Kita menghadapi sedikit kesulitan berikutan timbunan konkrit dan besi yang masih berada di tempat kejadian," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive