TANAH MERAH – “Kalau hujan lebat, kami terpaksa menadah besin merata tempat dan kalau kehabisan besin kami terpaksa mengelap air hujan di atas lantai atau biarkan sahaja begitu, sehingga hujan berhenti,” itu luahan kesedihan Rozmi Shafin, 42, seorang penoreh getah di Kampung Mengat, di sini yang terpaksa redha dengan apa yang sedang dialaminya.
Dia yang menoreh getah milik orang lain (pawah) telah beberapa kali mencuba untuk merubah nasibnya namun tidak berjaya. Justeru, dia memohon kalau diberikan sebuah rumah PPRT bagi melindungi keluarganya dari panas dan hujan.
“Saya dah lama memohon untuk memiliki rumah tersebut (PPRT), namun sehingga hari ini saya belum menerima apa-apa jawapan lagi,” katanya yang mempunyai empat orang anak.
Katanya, keseluruhan perkakas rumah yang didiami sekarang berkayu bulat dari jenis kayu gelugur pasir, beratap bata tanah sangkut, berusia hampir 90 tahun. Menurutnya, papan lantai rumahnya sudah patah di sana sini dan papan dinding rumahnya banyak yang sumbing terutama di bahagian dapur.
“Kalau boleh dipercepatkan permintaan saya itu lagi baik. Saya bimbang kalau-kalau kediaman saya itu tumbang dipukul ribut, kerana rumah pusaka itu sudah terlalu uzur. Kalau hujan air akan masuk ke dalam kediaman saya dari atap yang bocor dan papan dinding rumah yang sumbing,” katanya.
Hasil perkongsian hidup Rozmi dengan isterinya, Suria Abdullah, 40, mereka dikurniakan empat cahaya mata yang berusia antara 11 hingga 18 tahun.
Anak sulungnya, Nurul Azwa, 18, menuntut di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Mohd Amirul,17, dengan adiknya, Nurallynanalisa masih belajar di Sekolah Menengah Dato Mahmud Paduka Raja 2, manakala anaknya yang bongsu, Nurulazlyn belajar di Sekolah Kebangsaan Kulim.
Sementara itu, Suria juga mengharapkan agar harapan mereka untuk mempunyai sebuah rumah PPRT menjadi kenyataan.
“Bila hujan ribut, kami berasa takut. Apa pun itulah rumah kami dan kami berlindung juga di atas rumah uzur itu. oleh itu saya harap, hajat kami nak miliki rumah tersebut dapat ditunaikan pihak yang berwajib,’ katanya.SH
No comments:
Post a Comment