Saturday, 27 December 2014

#Pray4PantaiTimur - Bantuan Khas RM500 Juta Bagi Mangsa Banjir

KOTA BARU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara yang akan diuruskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata berikutan situasi banjir yang semakin meruncing, kerajaan berharap bantuan tersebut akan membantu mengurangkan beban mangsa banjir.

"Untuk terus membantu mereka, bayaran BR1M yang dijadualkan hujung bulan depan dipercepatkan ke pertengahan Januari 2015," katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini, Sabtu.

Mengulas lanjut, Najib berkata dana RM500 juta itu merangkumi bantuan bagi mangsa yang kediaman dan kenderaan mereka rosak akibat banjir. Beliau bagaimanapun berkata ia tidak meliputi peruntukan yang akan ditentukan kemudian untuk membaiki kerosakan kepada institusi pendidikan, bangunan kerajaan, masjid, surau dan lain-lain.

"JKR (Jabatan Kerja Raya) akan menyelaraskan kerja baik pulih (infrastruktur awam) yang perlu dilakukan sebaik sahaja banjir ini selesai nanti," katanya.

Beliau menegaskan segala usaha bantuan perlu dilakukan pada tahap semaksimum mungkin oleh semua pihak termasuk agensi kerajaan berkaitan.

Najib berkata beliau dimaklumkan MKN bahawa bencana kali ini amat serius memandangkan ada lokasi tertentu yang sebelum ini tidak pernah dilanda banjir, kali ini terjejas teruk.

"Saya diberitahu keadaan amat kritikal yang mana sesetengah tempat air masih naik, dan ada juga tempat yang tak pernah banjir, kini mengalami keadaan banjir yang begitu serius. "...dan ada juga tempat di mana mereka (penduduk) terpaksa lari ke atas bukit dan lereng bukit, dan (ada) juga tempat pemulihan banjir yang secara mendadak diwujudkan kerana keadaan banjir di luar dugaan yang berlaku kali ini," kata Najib.

Sehubungan itu, perdana menteri berharap semua agensi terlibat memastikan tumpuan diberi sepenuhnya kepada usaha menyelamat dan memberi bantuan kepada mangsa banjir.

"Saya amat berharap kerjasama semua pihak untuk pastikan bahawa fasa pertama ini kita dapat beri tumpuan iaitu menyelamat dan beri bantuan seperti makanan, selimut, tikar, lilin dan sebagainya," katanya.

Perdana menteri menarik perhatian bahawa keadaan lebih runcing kerana air naik begitu tinggi disertai arus begitu deras selain terputus bekalan elektrik.

"Ini bererti bekalan air bersih juga tak dapat disampaikan dan mangsa banjir di tempat pemindahan sementara terpaksa berada dalam gelap tanpa bekalan elektrik," katanya.

Sumber

#Pray4PantaiTimur - Banjir Di Kelantan Makin Meruncing

KUALA LUMPUR: Banjir di Kelantan semakin meruncing apabila jumlah mangsa kini mencecah 81,925 orang manakala keadaan di Kedah semakin pulih setakat tengah hari ini.

Di KELANTAN, 26,000 mangsa direkodkan di Tumpat, menjadikan jajahan itu paling teruk terjejas diikuti Kota Bharu dengan 24,034 mangsa.

Jajahan Pasir Mas juga masih mencatatkan jumlah mangsa yang tinggi iaitu 12,332 orang, Kuala Krai (5,200 orang) Gua Musang (5,150), Machang (4,039), Tanah Merah (3,548) Jeli (1,430) dan Pasir Puteh (192).

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan, Nik Omar Nik Abdul Rahman berkata kesemua mangsa daripada 20,177 keluarga itu di tempatkan di 254 pusat pemindahan.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama mendapati beberapa kawasan di sepanjang laluan utama dari bandar Kota Bharu ke Pengkalan Chepa telah dinaiki air, dan kebanyakan kawasan hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda. Antara laluan yang terjejas ialah Jalan Sabak, Jalan Pengkalan Chepa, dan Jalan Tok Guru.

Di KEDAH, keadaan dilaporkan beransur pulih dengan baki 13 mangsa telah dibenarkan pulang dan pusat pemindahan terakhir di daerah Bandar Baru telah ditutup.

Berbeza di TERENGGANU, 35,246 penduduk melibatkan 6,750 keluarga masih berada di pusat pemindahan. Daerah Kemaman masih mencatatkan mangsa tertinggi dengan 25,055 orang, diikuti Dungun (8,725 orang), Kuala Terengganu (1,247 orang) dan Hulu Terengganu (219 orang).

Sebanyak 99 pusat pemindahan masih dibuka iaitu 50 di Kemaman, Dungun (35), Kuala Terengganu (9) dan Hulu Terengganu (5).

Di PAHANG, jumlah mangsa meningkat kepada 35,564 orang dengan daerah Raub turut terkesan dengan 666 penduduk dipindahkan ke 17 pusat pemindahan yang dibuka pagi tadi.

Menurut laporan Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, lapan lagi daerah yang terjejas ialah Kuantan dengan 15,072 mangsa, Jerantut (5,802), Temerloh (4,522), Maran (3,335), Pekan (3,128), Lipis (2,470), Bera (528) dan Rompin (41).

Jumlah mangsa di PERAK turut meningkat kepada 6,730 orang melibatkan daerah Kuala Kangsar, Perak Tengah, Hulu Perak dan Kerian. Daerah Perak Tengah mencatat jumlah mangsa paling tinggi dengan 3,311 orang diikuti Kuala Kangsar (2,711), Hulu Perak (657) dan Kerian (51), demikian menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak.

Di JOHOR, Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa menurun kepada 1,096 orang di 14 pusat pemindahan. Di PERLIS, jumlah mangsa berbaki 195 orang di tiga pusat pemindahan iaitu di Dewan Seri Malau, Beseri, Dewan Beseri Dalam dan Sekolah Menengah Kebangsaan Abi, Kangar.

Di NEGERI SEMBILAN, jumlah mangsa semakin berkurangan daripada 331 orang pagi tadi kepada 80 tengah hari ini setelah paras air semakin surut.

Di SELANGOR, dilaporkan 85 orang terpaksa dipindahkan ke dua pusat pemindahan di Klang selepas beberapa kawasan dilanda banjir sejak dua hari lepas.

Antara kawasan terlibat ialah Jalan Datuk Abdul Hamid, Taman Sentosa; Kampung Budiman; Persiaran Hamzah Alang; Batu 5; Jalan Meru dan Jalan Paip di Meru.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata keadaan cuaca yang tidak menentu dan jangkaan hujan lebat pada masa ini mungkin boleh menyebabkan paras air di kawasan berkenaan meningkat semula.

Sumber
.

#Pray4PantaiTimur - PM Diberi Taklimat Banjir Di Kelantan

Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak meminta semua agensi terlibat dalam kerja-kerja membantu mereka yang terlibat banjir di Kelantan mempastikan segala usaha diteruskan dengan lancar termasuk menentukan bekalan makanan sampai kepada mereka yang memerlukan.

Semasa majlis taklimat yang turut dihadiri Pengerusi Masjlis Tindakan Persekutuan Kelantan Dato’ Seri Mustapa Mohamed dan Menterui Besar kelantan, Dato’ Haji Ahmad Yaakob, Perdana Menteri banyak mengajukan pertanyaan kepada pihak-pihak terbabit tentang permasalahan yang dihadapi ketika kerja-kerja menyelamat dan menghulur bantuan dilakukan.

Antara aspek yang diperjelaskan kepada Perdana Menteri ialah kesukaran penerbangan helikopter ekoran cuaca buruk serta ketiadaan tempat-tempat sesuai untuk pendaratan.

Dato’ Seri Najib menaiki helikopter untuk meninjau kedaan keseluruhan banjir sekitar Kelantan dan cuba mendarat di mana-mana pusat pemindahan termasuk Tumpat dan Jeli jika keadaan mengizinkan untuk pendaratan.

Beliau dijangka membuat kenyataan pada satu sidang media sebelum berlepas pulang ke ibu negara lewat petang ini.

Sumber

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive