Showing posts with label Ais. Show all posts
Showing posts with label Ais. Show all posts

Sunday, 29 December 2013

Harga Ais Bakal Naik Januari???

Rakyat yang sudah dibebankan dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan serta pemotongan subsidi kerajaan akan semakin panas apabila harga minuman dan makanan sejuk akan dinaikkan ekoran kenaikan harga air batu atau ais.

Persatuan Pembuat Tube Ice Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya akan menaikkan harga ais sebanyak 50 sen setiap beg manakala harga air batu blok pula akan meningkat RM2.50 setiap blok mulai 1 Januari ini.

Menerusi iklan yang dikeluarkan dalam akhbar Inggeris oleh 26 pengilang ais di Lembah Klang, mereka berkata, kenaikan harga ini tidak boleh dielakkan berikutan kenaikan kos pengeluaran dan pengedaran.

"Kadar tarif elektrik yang terkini (kira-kira 17%) bermula 1 Januari 2014 dan kenaikan diesel (naik 11.1%) sejak 2 September tahun ini telah menyebabkan perkara ini," kata mereka.

Kenaikan harga ais juga disebabkan pelaksanaan dasar gaji minima mulai Januari tahun ini, kenaikan gaji 18% serta kenaikan harga beg plastik, tayar dan alat ganti.

Mereka juga menyalahkan kenaikan ini kepada pihak penguatkuasaan yang selalu dibuat oleh Kementerian Kesihatan dan dalam masa yang sama di bawah Akta Makanan, semua pengeluar ais dan pengendalinya dikehendaki mematuhi prosedur keselamatan.

"Oleh itu, kami tidak ada pilihan tetapi menyesuaikan harga demi mempastikan perkhidmatan kami untuk mengeluarkan ais tidak tercemar dan kebersihannya tidak terganggu," tambahnya.

Kerajaan telah bersetuju untuk mengawal kenaikan harga sejak September apabila subsidi gula dan minyak dipotong, kenaikan tarif elektrik mulai bulan depan dan kemungkinan kadar tol dan cukai taksiran mulai tahun depan.

Kerajaan juga akan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan kadar 6% bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan yang bakal bermula April 2015. - Sumber

Thursday, 26 July 2012

INFO !!! AIS DI GREENLAND CAIR - RISIKO MALAYSIA DITENGGELAMI


KUALA LUMPUR – Beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia terutama kawasan pesisir pantai berisiko ditenggelami air laut jika lapisan ais di Greenland cair sepenuhnya.

Pakar geologi, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, risiko itu timbul kerana kejadian ais cair di pulau berhampiran Kutub Utara tersebut jika berterusan boleh menyebabkan paras air laut termasuk Laut China Selatan dan Selat Melaka meningkat.

“Apabila air laut meningkat maka daratan Malaysia akan ditenggelami air laut terutama kawasan pesisir pantai yang berada padakedudukan rendah.

“Risiko ini bagaimanapun tidak akan berlaku dalam masa terdekat kerana pencairan ais di Greenland akibat pemanasan global berlaku secara berperingkat-peringkat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Beliau mengulas kejadian kecairan glasier yang luar biasa di Greenland pada bulan ini yang membabitkan kawasan lebih luas berbanding sepanjang tempoh 30 tahun lalu.
Imej satelit Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) Amerika Syarikat baru-baru ini menunjukkan hampir 97 peratus permukaan glasier di Greenland mula mencair.

Sebuah bongkah ais gergasi dua kali lebih besar daripada Manhattan, Amerika Syarikat atau hampir menyamai saiz Pulau Tioman di Malaysia turut pecah.

Ibrahim berkata, fenomena pemanasan global menjadi punca lapisan ais di Greenland cair dan ini telah mengakibatkan paras air laut di Malaysia meningkat satu hingga dua milimeter setiap 10 tahun.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu berkata, langkah terbaik untuk memperlahankan pencairan ais di Greenland ialah dengan mengehadkan aktiviti yang menyebabkan pemanasan global.

Sementara itu, Pakar Oseanografi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Kuantan, Prof. Dr. Kamaruzaman Yunus pula memberitahu, peningkatan paras air laut akan menyebabkan kawasan-kawasan rendah di negara ini dinaiki air dan banjir kilat berlaku lebih kerap.
“Kawasan rendah yang tidak pernah dinaiki air sebelum ini berkemungkinan berlaku banjir dan proses untuk air surut akan mengambil masa lebih lama,” jelasnya.

Menurut Kamaruzaman, kecairan ais yang berlaku dan kesannya kepada negara ini adalah berpunca daripada pemanasan global yang disebabkan oleh pembuangan sisa industri yang tidak dikawal, pembebasan karbon dioksida (CO2) dan pertambahan penduduk manusia.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr. Yap Kok Seng pula ketika dihubungi memberitahu, pihaknya sedang memantau perkembangan di Greenland serta akan mengkaji kesan fenomena itu terhadap Malaysia.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive